Kenapa tiada tindakan terhadap hantaran berbaur hasutan, Yeoh soal peguam negara

Kenapa tiada tindakan terhadap hantaran berbaur hasutan, Yeoh soal peguam negara

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh mempersoalkan keputusan 'tiada tindakan lanjut’ (NFA).

Hannah Yeoh sebelum ini dipanggil ke Bukit Aman berhubung isu poster dalam talian mengenai perkahwinan kanak-kanak.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menggesa peguam negara menjelaskan mengapakah kes melibatkan satu hantaran berbaur hasutan yang dilemparkan terhadap beliau diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, beliau baharu diberitahu mengenai status kesnya oleh polis.

Dalam satu kenyataan, beliau mempersoalkan keputusan untuk menetapkan NFA, meskipun Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan siasatan mendapati hantaran itu dikaitkan dengan laman web muafakatnasional.net.

“Kata-kata palsu yang dibuat terhadap saya menimbulkan kegusaran awam. Mengapakah pihak yang mengeluarkan kata-kata palsu itu tidak dikenakan tindakan walaupun KPN secara terbuka mengenal pasti dalangnya?

“Adakah keputusan yang dibuat oleh peguam negara selari dengan peruntukan undang-undang atau terdapat sebab lain yang tidak ada kaitan dengan undang-undang?” soalnya.

Menerusi catatan di Twitter pada Mac tahun lalu, Yeoh mempersoalkan apakah yang akan berlaku terhadap pelan strategi kebangsaan untuk menangani perkahwinan bawah umur selepas Ahli Parlimen PAS Siti Zailah Mohd Yusoff diangkat sebagai timbalan menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat, berikutan perubahan kerajaan.

Poster dalam talian kemudian mendakwa Yeoh menyatakan perkahwinan kanak-kanak akan berleluasa kerana penggantinya adalah daripada PAS.

Yeoh, yang menafikan kenyataan itu, dipanggil ke Bukit Aman pada Jun untuk disoal siasat berkaitan dengan catatan media sosial.

Hamid kemudiannya menjelaskan bahawa catatan hasutan yang didakwa berbaur hasutan itu tiada kaitan dengan Yeoh.

Hamid berkata, satu kenyataan dirakam daripada individu yang disyaki membuat poster itu dan polis merampas alat yang dipercayai digunakan untuk memuat naik bahan itu.

Semua kertas siasatan kemudian dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.