DidikTV tepat masa, tetapi sistem PdPR perlu diperbaiki, kata Salleh

DidikTV tepat masa, tetapi sistem PdPR perlu diperbaiki, kata Salleh

Mulai semalam, DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI.

Bekas menteri pusat Salleh Said Keruak berkata, kerajaan perlu mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa dan pelajar selepas beberapa had tempoh pelaksanaan TV Pendidikan itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri persekutuan berkata, kewujudan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial yang dikenali sebagai DidikTV KPM tepat pada masanya.

Salled Said Keruak, bagaimanapun menyarankan agar kerajaan mendapatkan maklum balas daripada ibu bapa dan pelajar selepas beberapa had tempoh inisiatif kementerian itu dilaksana.

“Hal ini dapat menyelesaikan kebuntuan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman. Kawasan pedalaman tidak boleh mengikuti PdPR kerana masalah kemudahan peranti serta internet,” katanya dalam kenyataan.

Mulai semalam, DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di ASTRO dan saluran ntv7 di TV UNIFI bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Menyambut baik saluran yang merangkumi silibus sekolah secara keseluruhan itu beliau menggesa kerajaan supaya memperbaiki dan membaik pulih sistem PdPR untuk jangka masa panjang.

“Cara penyampaian perlu ditambah baik selain peningkatan rangkaian internet di kawasan pedalaman,” katanya.

Menyifatkan inisiatif KPM itu sebagai platform informasi dan budaya ilmu yang memfokuskan penerapan silibus, Salleh berkata, beliau mendapat banyak maklum balas pelajar yang menyambut baik pelaksanaannya itu.

Justeru katanya, ia sedikit sebanyak melegakan kebuntuan rakyat yang mahukan sistem pendidikan dan pembelajaran dilaksanakan secara konsep sama rata.

“Semoga usaha ini akan terus memudahkan semua pihak dalam memastikan pendidikan anak-anak dipermudah dan lancar demi pembangunan pendidikan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.