
Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata, musim kemarau yang biasanya berlaku setiap tahun pada bulan Nov menjejaskan negeri ini sejak akhir Jan hingga kini. Hujan dilaporkan tidak turun di sebahagian besar wilayah Kedah sejak tiga minggu lalu.
Katanya, kawasan yang paling teruk terjejas adalah kawasan yang lebih tinggi atau paling jauh dari perkhidmatan air paip.
Dalam sidang media hari ini, Sanusi berkata akibat kekurangan bekalan dari loji rawatan air di negeri ini, lori tangki air telah digerakkan ke kawasan yang terjejas dan ke hospital serta bangunan kerajaan yang lain.
Lori tangki ini akan beroperasi dari jam 8 pagi hingga tengah malam setiap hari, tambahnya.
Beliau berkata, negeri membelanjakan sekurang-kurangnya RM3 juta atau lebih untuk menggerakkan semua lori tangki ke kawasan terjejas. Katanya, 24 lori dengan kapasiti 1,200 gelen juga telah dihantar, termasuk lori tangki “jumbo” untuk mengisi tangki air dan infrastruktur utama lain.
Satu-satunya jalan keluar adalah dengan pembinaan lima loji rawatan air (WTP) baharu, dan satu daripadanya sudah diluluskan kementerian kewangan, katanya.
Sanusi berkata, empat lagi masih belum diluluskan di mana kelima-lima WTP tersebut dijangka siap menjelang 2024.
“Loji rawatan air yang cukup mendesak ketika ini adalah untuk Bukit Selambau, di mana ia kemudiannya akan menyalurkan air mentah ke Merbok dan sekitarnya,” tambahnya.
Beliau turut menggesa kementerian kewangan untuk membantu kos penggantian paip air lama, yang telah menyebabkan kerugian air sejak bertahun lalu. Katanya, air tanpa hasil atau NRW, kekal pada 48%.
“Kami meminta kementerian kewangan mempercepatkan surat penerimaan kepada mereka yang diamanahkan untuk melaksanakan projek WTP. Ini satu-satunya jalan penyelesaian jangka panjang, jika tidak, kami akan terus berdepan dengan gangguan bekalan air di kawasan ini.
“Gunung Jerai terlalu kering dan tidak lagi mampu membekalkan air. Seperti kata pepatah, harimau dari gunung pun akan turun menyejukkan badan di restoran Pelita di bawah. Begitu teruknya kemarau kali ini,” katanya.