
Bercakap pada sidang media selepas pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini, Muhyiddin berkata hampir semua negara mengambil bahagian dalam usaha vaksinasi bagi menangani krisis kesihatan global dan memulihkan ekonomi.
Beliau turut memetik bagaimana pasport imuniti mungkin diperlukan untuk perjalanan di masa depan, dan menambah vaksinasi ‘memanfaatkan’ mereka yang mahu mengembara ke luar negara sebaik sempadan antarabangsa dibuka semula, walaupun kerajaan tidak akan mewajibkan pengambilannya seperti dilaksanakan di negara lain.
“Apabila sampai peringkat kebanyakan orang (di dunia) diberi vaksin, mungkin akan diwujudkan sejenis pasport untuk pengembara sebagai bukti anda telah disuntik vaksin.
“Sekiranya anda tidak divaksin, mungkin ada kekangan untuk bergerak ke sana sini,” katanya.
Beliau menegaskan saringan sejarah kesihatan dan alahan individu akan dijalankan terlebih dahulu untuk memastikan kesesuaian menerima suntikan vaksin Covid-19, katanya.
“Mereka yang tidak sesuai, tidak diberi suntikan,” katanya.
Muhyiddin berkata selepas seseorang menerima suntikan itu, pemantauan akan dibuat selama 15 hingga 30 minit di pusat pemberian vaksin, sebelum mereka dibenarkan pulang bagi memastikan tiada reaksi alahan serius.
Bernama memetik Muhyiddin berkata, vaksin berkenaan mungkin mempunyai kesan sampingan ringan seperti bengkak di tempat suntikan, namun kesan seperti itu dipercayai akan pulih dengan sendiri.
Mengambil perkembangan negara-negara lain yang telah melaksanakan program vaksinasi Covid-19 dengan selamat, beliau berharap tidak berlaku perkara luar biasa di Malaysia yang memerlukan kerajaan mengkaji semula perkara berhubung program vaksinasi berkenaan.
“Jadi kita harap dengan keadaan yang diperhatikan berlaku di banyak negara, maka demikian juga diharap berlaku di Malaysia. Seperti mana saya telah melawat Indonesia dan berjumpa dengan Jokowi (Presiden Indonesia Joko Widodo) yang sudah menerima vaksin, (beliau) nampak sihat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, semua Ahli Parlimen dan Adun akan menerima vaksin Covid-19 pada fasa pertama program imunisasi, mulai akhir bulan ini.
“Oleh kerana sifat pekerjaan mereka, kami sepakat bahawa ahli parlimen dan Adun, tidak kira dari parti mana, akan diberi vaksin pada fasa pertama untuk memungkinkan mereka menjalankan tugas dengan efektif dan selamat.”
Tambahnya, kerajaan turut mempertimbangkan untuk memvaksinasi kakitangan media dan guru pada fasa pertama program ini, sejajar dengan permintaan oleh Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).
Muhyiddin berkata kejayaan program imunisasi penting kepada ekonomi kerana sektor tertentu seperti pelancongan dapat beroperasi semula.