
Pakar Kajian Strategik dan Anti-keganasan Universiti Malaysia Perlis Mizan Mohammad Aslam berkata, bagi meringankan beban kos tinggi yang terpaksa ditanggung Malaysia jika tahanan asing disimpan terlalu lama, beliau mencadangkan ia ditanggung kerajaan negara terbabit.
“Penangguhan (hantar tahanan) merupakan pilihan yang terbaik dalam situasi politik Myanmar yang tidak menentu pada masa ini dan secara historikalnya kita mengetahui bagaimana layanan buruk oleh tentera Junta ke atas pelarian Rohingya sebelum ini.
“Kita tidak nafikan hampir keseluruhan pelarian Myanmar ini adalah etnik Rohingya yang merupakan subjek untuk penghapusan etnik sebelum ini,” katanya.
Mizan melihat kepulangan mereka ke negara asal di kala pergolakan politik yang sedang meruncing adalah bebanan yang akan meningkatkan lagi suhu politik dan konflik di Myanmar.
“Jika keputusan penangguhan ini diambil, maka kerajaan Myanmar seharusnya bertanggungjawab menanggung semua kos diperlukan untuk tahanan warga mereka sendiri,” katanya kepada FMT.
Beliau turut memaklumkan penghantaran segera perlu dilakukan sebaik sahaja keadaan reda bagi mengurangkan beban terpaksa ditanggung Malaysia bagi menguruskan pelarian asing.
Mizan boleh bersetuju tahanan asing itu dihantar pulang oleh Malaysia jika kerajaan Myanmar dapat memberi jaminan bahawa pelarian akan dilayan secara manusiawi berdasarkan konvensyen Geneva dan semangat ASEAN.
“Malaysia juga perlu meminta satu deklarasi dari Myanmar untuk memastikan layanan yang berperikemanusiaan dan disaksikan oleh wakil UNHCR, Human Rights Watch dan lain-lain jika tahanan itu perlu dihantar pulang bagi mengelak persepsi buruk ke atas Malaysia di mata dunia jika berlaku perkara tidak diingini apabila mereka diserah semula ke negara asal,” katanya.
Beliau mengakui Malaysia mungkin berada dalam kedudukan tersepit antara tuntutan kemanusiaan sejagat dan ancaman keselamatan memandangkan seluruh dunia ketika ini berdepan penularan Covid-19 di mana jangkitan membabitkan tahanan juga merekodkan jumlah yang tinggi .
Disebabkan itu, antara pilihan buat Malaysia ialah menghantar semula tahanan Myanmar bagi mengurangkan kesesakan dalam depoh tahanan.
Katanya, pilihan lain ialah Malaysia mungkin mengadakan rundingan bersama antara kerajaan Myanmar dengan Bangladesh untuk menempatkan 1,200 tahanan Myanmar itu di Pulau Bhasar Chan sementara keadaaan politik di negara terbabit pulih.
“Pilihan yang ada ketika ini, jika plan A penghantaran semula tidak berjaya, maka plan B adalah penempatan sementara di Malaysia dengan tanggungan kos oleh Myanmar atau pilihan C penghantaran ke Pulau Bhasan Char dengan kerjasama kerajaan Bangladesh.
“Tetapi jika dihantar ke Pulau Bhasar Char, dipercayai peluang untuk pelarian balik semula ke Myanmar sangat kabur kerana sebarang bentuk perjanjian antara Myanmar dan Bangladesh masih belum dimeterai,” katanya.
Mizan yang juga ahli panel pakar deradikalisasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui, jika tahanan asing disimpan terlalu lama di Malaysia ketika negara berdepan penularan Covid-19, ia meletakkan negara dalam keadaan risiko mengawal jangkitan apabila pusat tahanan sesak.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia bersetuju mengembalikan pelarian selepas tentera Myanmar yang merampas kuasa pada 1 Feb lalu, menawarkan untuk menghantar tiga kapal tentera laut bagi membawa warganya yang ditahan di pusat tahanan imigresen Malaysia.
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud turut mengesahkan, 1,200 warga Myanmar akan dihantar pulang tetapi tidak menjelaskan sama ada ia termasuk pelarian.
Rampasan kuasa dan penahanan pemimpin Aung San Suu Kyi bersama yang orang mencetuskan demonstrasi terbesar di Myanmar sejak “Revolusi Saffron” 2007, yang akhirnya mengorak langkah menuju reformasi berdemokrasi.
Pada 2017, tentera Myanmar mengusir lebih 73,000 Muslim Rohingya ke negara jiran, Bangladesh, dalam operasi disifatkan PBB dilakukan dengan “niat genosid”, yang dinafikan Myanmar.
Secara rasminya, Malaysia tidak mengiktiraf pelarian, malah mengklasifikasikan mereka yang tiba ke negara ini tanpa dokumen sah sebagai pendatang tanpa izin, dan sehingga kini ada lebih 154,000 pencari suaka dari Myanmar.