Program imunisasi mampu turunkan kes positif negara kepada sifar

Program imunisasi mampu turunkan kes positif negara kepada sifar

Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Dr Jemilah Mahmood mengingatkan mencapai kes sifar bukan saja dengan vaksin malah SOP mesti tetap sentiasa dipatuhi.

Dr Jemilah Mahmood berkata negara akan berjaya mencapai ‘Imuniti Kelompok’ jika bilangan rakyat yang divaksinasi mencapai 80%.
KUALA LUMPUR:
Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Dr Jemilah Mahmood berkata tidak mustahil Malaysia boleh mencapai sifar kes harian positif Covid-19 melalui pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau berkata sekiranya bilangan rakyat Malaysia yang mendapat vaksinasi mencecah 80%, negara akan berjaya mencapai ‘Immuniti Kelompok’ yang disasarkan.

Bagaimanapun katanya sepanjang tempoh pelaksanaan program vaksinasi itu rakyat juga perlu memainkan peranan dengan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 yang ditetapkan.

“Saya rasa tidak mustahil untuk mencapai sifar Covid-19 (kes harian), tetapi kita usahakan untuk merendahkan kes dengan sebaiknya dan berusaha melindungi diri terlebih dahulu.

“Mencapai sifar kes bukan sahaja dengan vaksin, tetapi rakyat juga memainkan peranan yang amat penting untuk menjaga kesihatan awam seperti menggunakan pelitup muka dan menjaga jarak sehingga bilangan kes mencapai sifar serta mengekalkannya untuk tempoh masa yang tertentu,” katanya dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan secara langsung di Bernama TV hari ini.

Mengulas lanjut, Jemilah berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan tidak pernah menjadi satu program mandatori dan ia tidak dipaksa kepada rakyat Malaysia.

“Kita kena faham bahawa vaksin akan menyelamatkan ramai orang daripada penyakit ini (Covid-19) yang agak serius akibatnya.

“Oleh itu, lindungi diri adalah salah satu cara untuk kita melindungi semua rakyat dan fikirkan juga saudara-mara kita yang terdiri daripada warga emas dan mempunyai penyakit berisiko tinggi.”

Mengenai impak aktiviti kumpulan antivaksin kepada program kebangsaan itu, Jemilah berkata kumpulan itu wujud di seluruh dunia, akan tetapi golongan itu sangat kecil berbanding mereka yang memahami sains dan menyokong vaksinasi.

Beliau berkata untuk membawa golongan itu menerima vaksin, orang ramai perlu menjadikan mereka faham dengan fakta sains.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.