Presiden PAS dirawat di IJN, mengadu kurang sihat, sesak nafas

Presiden PAS dirawat di IJN, mengadu kurang sihat, sesak nafas

Doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan keadaan presiden PAS itu stabil namun jantungnya agak lemah dipercayai akibat keletihan.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
PUTRAJAYA:
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) malam tadi selepas mengadu kurang sihat dan sesak nafas.

Terdahulu, Hadi yang juga duta khas kepada perdana menteri ke Asia Barat dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya pada 7.50 malam.

Menurut sumber, doktor yang melakukan pemeriksaan mengesahkan keadaan Hadi stabil namun jantungnya agak lemah kemungkinan akibat keletihan.

“Doktor yang merawat Hadi turut melakukan ujian saringan ke atas presiden PAS itu bagi mengenal pasti sama ada beliau dijangkiti Covid-19 atau tidak,” katanya ketika dihubungi.

Hadi kemudian dipindahkan ke IJN untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Turut kelihatan di Hospital Putrajaya malam tadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang juga Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara PAS Ahmad Yahaya menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi berita mengenai Hadi dan meminta orang ramai mendoakan kesihatan beliau kembali pulih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.