
Najib berkata, menjadi kesilapan besar sekiranya hospital swasta dan 7,000 klinik swasta di seluruh negara tidak diberi peranan dalam program vaksinasi yang akan bermula pada penghujung Februari ini.
Katanya, selain mengurangkan bebanan petugas kesihatan awam di 605 pusat pemberian vaksin milik kerajaan, beliau juga percaya ramai rakyat sanggup membayar bagi menerima rawatan di hospital dan klinik swasta.
“Doktor dan jururawat di klinik swasta sudah biasa memberi pelbagai suntikan dan semua rakyat tahu di mana terletaknya klinik terdekat dengan mereka. Walaupun kita sudah lama ada hospital dan klinik kerajaan yang percuma, ramai rakyat sanggup membayar untuk menerima rawatan di hospital dan klinik swasta.
“Tiada sebab kenapa kerajaan boleh membenarkan pihak swasta untuk membuat ujian Covid tetapi tidak membenarkan pihak swasta memberi vaksin Covid. Beban ke atas 605 pusat pemberian vaksin kerajaan juga akan berkurang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memaklumkan Malaysia akan menerima penghantaran pertama vaksin Covid-19 buatan Pfizer-BioNTech pada 21 Feb, diikuti pelaksanaan program imunisasi kebangsaan pada 26 Feb.
Muhyiddin ketika melancarkan buku panduan program imunisasi kebangsaan berkata program itu mengandungi tiga fasa.
Fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula 26 Feb sehingga Apr 2021. Fasa kedua pula akan bermula pada April sehingga Ogos 2021 melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi, manakala fasa ketiga merangkumi golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari Mei 2021 sehingga Feb 2022.
Kementerian Kesihatan (KKM) turut memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti 605 pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara bagi tujuan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
PPV sementara seperti di stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai, universiti serta fasiliti yang bersesuaian juga akan dibuka mengikut keperluan, menurut KKM dalam catatan di Twitter.
Menurut Najib, tindakan membenarkan hospital dan klinik swasta terlibat dalam pemberian vaksin juga akan membolehkan negara mencapai kadar imuniti kelompok secepat mungkin, walaupun Malaysia di peringkat permulaan sedikit ketinggalan berbanding negara lain.
“Lagi awal kita capai imuniti kelompok, lagi awal negara pulih dan lagi awal rakyat boleh bernafas semula. Malaysia agak lambat untuk memulakan program vaksin kita tetapi kita masih ada peluang untuk mengejar 77 buah negara yang sudah bermula.
“Rancangan kerajaan sekarang ialah untuk menyediakan 605 pusat pemberian vaksin seluruh negara supaya 70% daripada penduduk dapat diberi vaksin seawalnya pada Februari 2022. Ini adalah lambat berbanding banyak negara yang sasar untuk 75% daripada penduduk diberi vaksin seawal bulan Julai tahun ini,” katanya.