Kerajaan laksanakan PKPD di Penjara Tapah termasuk kuarters kakitangan

Kerajaan laksanakan PKPD di Penjara Tapah termasuk kuarters kakitangan

Pelaksanaan PKPD di kawasan terbabit susulan berlaku peningkatan kes apabila sehingga kini 55 individu dikesan positif.

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Tapah, Perak bermula esok sehingga 1 Mac.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksaan PKPD di kawasan terbabit susulan berlaku peningkatan kes, apabila sehingga kini 55 individu dikesan positif.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 187 ujian saringan ke atas kontak rapat dan daripada jumlah itu, sebanyak 55 kes positif telah direkodkan,” katanya menerusi kenyataan ketika melaporkan perkembangan harian pelaksanaan PKP dalam membendung Covid-19.

Ismail turut mengumumkan pelanjutan pelaksanaan PKPD di Penjara Sungai Udang Melaka Tengah, Melaka sehingga 2 Mac kecuali yang tinggal di Kuarters Kakitangan dan PKRC Penjara Sungai yang akan tamat esok seperti dijadualkan.

“PKPD di Penjara Sungai Udang dan Kuarters Kakitangan sepatutnya tamat esok.Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,234 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif, sebanyak 331 kes telah direkodkan. KKM mengesahkan peningkatan kes masih berlaku dalam kalangan tahanan dan terdapat baki 21 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu Ismail mengumumkan penamatan PKPD di tiga lokaliti Kampung Sungai Ud, Dalat, Sarawak, Felcra Nasaruddin, Perak Tengah dan Peringkat 2 dan sebahagian Peringkat 1 Felda Bersia, Hulu Perak, Perak bermula esok.

Ismail turut memaklumkan masih ramai melanggar SOP apabila pihak polis menahan 1,111 individu semalam dengan 1,040 dikompaun manakala 71 lagi individu direman dengan kesalahan cuba rentas daerah dan negeri paling ramai.

“Antara kesalahan direkodkan ialah Rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (306), tiada penjarakan fizikal (300), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (107), tidak memakai pelitup muka (97), keluar rumah tanpa alasan munasabah (68), membawa penumpang berlebihan (58), aktiviti pusat hiburan (55), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (11) dan lain-lain (109),” katanya.

Dalam tempoh sama pihak berkuasa menerusi Operasi Benteng menangkap 22 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas enam kenderaan darat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.