
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijadualkan melancarkan DidikTV pada 8 pagi Rabu, yang akan menyiarkan kandungan bersifat pendidikan khusus untuk kurikulum serta kokurikulum SPM dari 7 pagi hingga detik tengah malam, setiap hari.
Rangkaian diperkenalkan kementerian pendidikan itu boleh ditonton di saluran 107 di MYTV, 147 di Astro dan ntv7 di Unifi TV.
Stesen itu bermula sebagai saluran komersial swasta pada 1995 sebelum diambil alih Media Prima pada 2005 dan menyertai stesen komersial lain syarikat itu.
Pada November tahun lalu, Media Prima berkata stesen itu akan menyasarkan penonton berusia 15 hingga 28 tahun, dan DidikTV diperkenalkan untuk tiga jam pada Januari lalu.
Walaupun FMT sedang berusaha menghubungi Media Prima untuk mengesahkan sama ada ini adalah pengakhiran bagi ntv7, pengguna media sosial sudah mula mengucapkan selamat tinggal kepada saluran itu.
Pengguna Twitter @RekomenByAsrul berkata dia akan merindui ntv7, manakala @loofranchot mengucapkan terima kasih kepada saluran “feel-good” berkenaan, iaitu slogan lama ntv7, atas kenangan manis ketika zaman kanak-kanaknya.
“Sebelum memiliki Astro, ini antara rangkaian TV yang menjadi pilihan untuk pelbagai kartun, anime dan rancangan televisyen remaja. Terima kasih NTV7,” kata @Petolaaaaaa.
Bagaimanapun, ada juga yang menganggap saluran itu tidak lagi sebagus dulu malah merasakan rancangannya juga semakin membosankan.
Tidak kurang juga pengguna yang mendesak Media Prima menjelaskan sama ada DidikTV adalah penamat untuk ntv7.
Khairul Nizam Rahmat yang mempersoalkan perkara itu di Facebook berkata, “Adakah ntv7 digantikan dengan DidikTV? Adakah ini bererti Media Prima menyerahkan stesen TV itu kepada kementerian pendidikan?”