
Pengarah Maritim Kedah/Perlis Mohd Zawawi Abdullah berkata kejayaan yang dicatatkan itu dapat menyuntik semangat tambahan kepada anggotanya menjelang sambutan ulang tahun ke-16 APMM pada 15 Feb ini.
“Sepanjang tahun lalu, APMM Kedah dan Perlis berjaya menggagalkan beberapa cubaan sindiket menjadikan kawasan perairan di sekitar kedua-dua negeri ini sebagai laluan penyeludupan.
“Hasil operasi berterusan serta kerjasama erat dengan komuniti maritim, APMM berjaya merampas syabu seberat 61.5kg bernilai RM12 juta, ganja seberat satu tan bernilai RM3 juta serta daun ketum seberat 4.8 tan bernilai RM500,000,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di sekitar perairan.
Mengenai laporan ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia, Mohd Zawawi berkata pihaknya belum menerima maklumat pelarian terbabit menuju ke perairan negara ini, khususnya di Langkawi.
“APMM akan terus memantau perkara tersebut, menerusi kerjasama agensi terlibat kita akan pastikan sempadan negara tidak dicerobohi,” katanya, menambah penugasan Op Benteng yang turut melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan lain akan memastikan perairan negara tidak dicerobohi.