Malaysia bakal serah 1,200 tahanan Myanmar kepada tentera laut

Malaysia bakal serah 1,200 tahanan Myanmar kepada tentera laut

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, semua tahanan tersebut adalah dari depot-depot imigresen.

Para pegawai tidak menyatakan sama ada warga Myanmar yang bakal diserahkan dari depot-depot imigresen seperti ini termasuk pelarian. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Malaysia akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar yang ditahan setelah kerajaan tentera Myanmar, yang merampas kuasa pada 1 Feb, menawarkan tiga kapal tentera lautnya untuk menjemput mereka, kata pegawai daripada kedua-dua negara dan dua sumber.

Myanmar, melalui kedutaannya di Kuala Lumpur, membuat tawaran untuk menjemput kembali rakyatnya yang ditahan di pusat tahanan imigresen Malaysia minggu lalu, menurut dua sumber.

Pusat-pusat tahanan biasanya menahan pencari suaka dan pelarian, bersama yang lain yang berada di Malaysia tanpa dokumen yang sah. Malaysia tidak secara rasmi mengiktiraf pelarian dan menganggap mereka sebagai pendatang tanpa izin.

Pegawai-pegawai tersebut tidak menjawab pertanyaan sama ada pelarian termasuk antara mereka yang akan dihantar pulang.

Antara yang pernah menjadi tahanan adalah komuniti Chin, Kachin dan Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada konflik etnik dan penganiayaan oleh tentera di Myanmar.

Malaysia menempatkan lebih daripada 154,000 pencari suaka dari Myanmar, menurut agensi pelarian Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), UNHCR. Terdapat juga ribuan pekerja asing.

Sumber-sumber itu berkata, Myanmar menawarkan untuk mengambil kembali hanya rakyatnya. Myanmar mengiktiraf lebih daripada 100 etnik tetapi bukan Rohingya, yang dilihat sebagai pendatang haram dari Bangladesh.

Sumber-sumber itu, yang meminta nama mereka tidak disebut, berkata kapal-kapal itu dijangka tiba di Malaysia pada 21 Feb dan akan berangkat pulang dua hari kemudian.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud mengesahkan perinciannya, sambil menambah, pihak berkuasa telah bersetuju untuk menyerahkan tahanan-tahanan tersebut kepada angkatan tentera laut Myanmar.

“Ya, kami telah bersetuju. Semuanya dari depot imigresen,” kata beliau dalam pesanan teks, tanpa mengulas lanjut.

Win Min Soe, atase tenaga kerja di kedutaan Myanmar, mengesahkan tawaran itu, manakala Jurucakap Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

James Bawi Thang Bik, daripada Alliance of Chin Refugees yang berpusat di Kuala Lumpur, berkata walaupun Malaysia menghantar pulang warga Myanmar secara berkala, ini adalah kali pertama tentera laut Myanmar menawarkan diri untuk membantu usaha tersebut.

Dia menyeru agar pihak berkuasa Malaysia bekerjasama dengan UNHCR untuk menentukan sama ada mereka yang akan dihantar pulang termasuk pelarian tanpa dokumen.

“Pelarian berisiko dihukum penjara dan dianiaya sekiranya mereka dihantar kembali ke Myanmar,” katanya.

Rampasan kuasa dan penahanan pemimpin terpilih Aung San Suu Kyi bersama dengan sejumlah orang lain telah mencetuskan demonstrasi terbesar di Myanmar sejak “Revolusi Saffron” 2007, yang akhirnya menjadi langkah menuju reformasi berdemokrasi.

Pada 2017, tentera Myanmar mengusir lebih daripada 73,000 Muslim Rohingya ke negara jiran, Bangladesh, dalam sebuah operasi yang disifatkan oleh PBB dilakukan dengan “niat genosid”, sebuah tuduhan yang dinafikan Myanmar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.