Undang-undang anticerca pemimpin: Razali perlu lebih matang, jangan sesuka hati guna frasa ‘penyakit mental’, kata PH Plus

Undang-undang anticerca pemimpin: Razali perlu lebih matang, jangan sesuka hati guna frasa ‘penyakit mental’, kata PH Plus

Senator daripada PH Plus berkata kenyataan Razali penuh kontroversi dan bersifat partisan.

Senator PH Plus menyifatkan kenyataan Razali menampakkan beliau begitu rentan dengan kritikan pedas rakyat terhadap kelemahan kerajaan menguruskan wabak Covid-19. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ahli Dewan Negara Pakatan Harapan (PH) Plus membidas kenyataan Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Dewan Negara Razali Idris yang menyifatkan cercaan, hasutan dan carutan oleh netizen di media sosial sudah menjadi “penyakit mental” nombor satu dalam negara dan memerlukan tindakan undang-undang lebih tegas serta agresif.

Menerusi kenyataan bersama, 21 senator PH Plus berkata kenyataan Razali penuh kontroversi dan bersifat partisan.

“Senator Razali tentunya berhak bersuara sebagai seorang Ahli Dewan Negara, walaupun kami tidak bersetuju dengan pandangan beliau pada kali ini. Akan tetapi, adalah tidak wajar bagi beliau untuk mewakili kaukus apabila pandangan yang diutarakan adalah penuh kontroversi dan bersifat partisan.

“Seboleh mungkin, seluruh Ahli-ahli Dewan Negara harus menyahut seruan Rais Yatim untuk menjadikan Dewan Negara sebagai suatu medan yang lebih bi-partisan,” katanya.

Kata mereka, kenyataan Razali menampakkan beliau begitu rentan dengan kritikan pedas rakyat terhadap kelemahan kerajaan menguruskan wabak Covid-19, sehingga sanggup membungkam hak bersuara rakyat, bertentangan dengan peruntukan hak asasi yang dijamin teguh oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Razali juga sewajarnya lebih memperlihatkan kematangan sebagai Ahli Dewan Negara dan tidak menyalahgunakan frasa ‘penyakit mental’ sesuka hati beliau, tanpa sedikit pun rasa sensitif terhadap demikian ramai pihak yang menderita menanggung kemurungan akibat ketidaktentuan ekonomi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Sebenarnya, kaukus kesejahteraan rakyat Dewan Negara telah ditubuhkan pada Dis 2020 sebagai satu platform bi-partisan untuk menyiasat masalah dihadapi rakyat.

Isu yang dicadangkan untuk disiasat termasuklah kesesakan penjara, isu daging halal, isu Felda dan pelbagai lagi,” katanya.

Razali sebelum ini mendakwa, cercaan, hasutan dan carutan oleh netizen di media sosial sudah menjadi “penyakit mental” nombor satu dalam negara dan memerlukan tindakan undang-undang lebih tegas serta agresif.

Katanya, satu rang undang-undang baharu berhubung perkara itu perlu diperkenalkan atau pindaan dibuat ke atas undang-undang sedia ada, iaitu Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Beliau yang juga timbalan presiden Majlis Senator Malaysia berkata, kaukus itu mengutuk keras tindakan segelintir netizen yang menunjukkan sikap ekstrem, melampau dan tidak patriotik di media sosial terhadap institusi beraja, perdana menteri dan negara yang cenderung menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.