Pendapatan masih kurang walau kerajaan benar operasi gunting rambut, kata persatuan

Pendapatan masih kurang walau kerajaan benar operasi gunting rambut, kata persatuan

Kerajaan perlu benarkan perkhidmatan lain bagi menambah pendapatan pengusaha dan tukang gunting rambut.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia TN Winda Mohd Tahir berkata, pengusaha berharap perkhidmatan lain turut dibenarkan berikutan tahap pematuhan SOP yang tinggi sejak PKP diperkenalkan.
PETALING JAYA:
Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) berkata, setelah hampir seminggu kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi, rata-rata pengusaha menerima pendapatan kurang 50% daripada biasa.

Presidennya, TN Winda Mohd Tahir berkata, ini berikutan hanya perkhidmatan gunting rambut asas sahaja dibenarkan dan perkhidmatan lain seperti mencuci dan mewarna rambut atau mencukur misai, janggut dan jambang masih tidak dibenarkan.

“Sudah tiba masanya kerajaan benarkan perkhidmatan lain untuk jana pendapatan pengusaha dan tukang gunting rambut.

“Sebab permintaan tinggi dan selepas menggunting rambut pelanggan biasanya nak cukur misai, janggut dan jambang serta cuci rambut,” katanya kepada FMT.

Pada 4 Feb lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kedai gunting rambut dan salun dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam dengan syarat hanya perkhidmatan gunting rambut sahaja dibenarkan.

Ismail berkata, perkhidmatan lain seperti ‘facial’ (rawatan muka) tidak dibenarkan dan SOP ketat, iaitu petugas perlu pakai pelitup muka dan lebih baik jika ada “face shield”, dan apron pakai buang dengan sekali penggunaan.

Dalam pada itu, Winda mengakui pada hari pertama dan kedua memang pelanggan ramai disebabkan hampir sebulan operasi kedai gunting rambut tidak dibenarkan sebelum itu.

Beliau berkata, terdapat faktor lain juga yang menyebabkan pelanggan berkurang selepas hari kedua perkhidmatan gunting rambut dibenarkan operasi.

“Misalnya ramai orang kena buang kerja, nak berjimat dan mungkin risau dengan keadaan Covid-19,” katanya.

Winda berkata, pengusaha industri gunting rambut berharap perkhidmatan lain turut dibenarkan berikutan tahap pematuhan SOP yang tinggi diamalkan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) diperkenalkan.

“Kita sangat patuh SOP diperkenalkan. Sekiranya tidak ada kes dalam seminggu ini daripada kluster perkhidmatan gunting rambut, kita harap kerajaan benarkan sekurang-kurangnya untuk kita jana pendapatan berikutan hasil yang kurang itu,” katanya.

PKP 2.0 dikuatkuasakan mulai 13 Jan lalu di enam negeri, termasuk Selangor yang mencatatkan jumlah kes harian Covid-19 tertinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.