Kemasukan Gerakan bukti PN utama kepelbagaian kaum, kata Pemuda PPBM

Kemasukan Gerakan bukti PN utama kepelbagaian kaum, kata Pemuda PPBM

Penyertaan Gerakan dilihat sebagai bukti kemajmukan masyarakat dalam negara bagi membantu memperkukuhkan Perikatan Nasional.

Ketua Pemuda PPBM Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad mengucapkan selamat datang kepada bekas parti serpihan Barisan Nasional (BN) itu dalam PN.
PETALING JAYA:
Pemuda PPBM menyifatkan penyertaan Gerakan dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) persis rekonsiliasi politik nasional ketika zaman “Mageran” walaupun latar belakangnya berbeza.

Ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, ia juga bukti PN bukan sekadar mendahulukan orang Melayu-Bumiputera, namun melihat kepentingan masyarakat berbilang kaum secara keseluruhan sebagai satu keluarga besar anak Malaysia yang dipelopori Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Penyertaan Gerakan dilihat sebagai bukti kemajmukan masyarakat dalam negara Malaysia bagi membantu memperkukuhkan lagi PN yang didominasi oleh parti berjalur masyarakat majoriti dari kelompok Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak seperti PPBM, STAR dan SAPP, sebegitu berteraskan Islam seperti PAS,” katanya dalam kenyataan.

Sambil menyifatkan Gerakan sebagai parti adik-beradik, Wan Fayhsal mewakili pemuda PPBM mengucapkan selamat datang kepada bekas parti serpihan Barisan Nasional (BN) itu dalam PN.

“Moga kerjasama erat dan tautan kasih ini membuka lembaran baharu dalam membina Malaysia dengan silang budaya yang lebih utuh dan harmoni bawah naungan PN dalam mengembalikan Malaysia selaku simbol keharmonian masyarakat Asia yang sebenar,” katanya.

Terdahulu Presiden Gerakan Dominic Lau mengesahkan parti itu kini menjadi sebahagian daripada gabungan PN selepas diterima masuk oleh Muhyiddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.