
Keputusan ujian itu dimaklumkan timbalan pendakwa raya Mohamad Mustafa P Kunyalam kepada Bernama melalui khidmat pesanan ringkas.
“Beliau memaklumkan kami keputusan ujian adalah negatif. Bagaimanapun kami tidak akan memanggilnya hari ini (untuk memberi keterangan),” kata Mohamad Mustafa.
Mohd Hazem, yang kini di peringkat memberi keterangan dalam pemeriksaan balas oleh peguami Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed, dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu berkaitan 1MDB di Mahkamah Tinggi, tidak dapat berbuat demikian semalam selepas dilaporkan demam.
Selepas mahkamah dimaklumkan mengenai perkara itu, hakim Collin Lawrence Sequerah mengarahkan Mohd Hazem, 47, menjalani ujian swab dan perbicaraan disambung dengan mendengar keterangan saksi ke-11, bekas timbalan ketua setiausaha (Kabinet) Mazidah Abdul Majid.
Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.