Sukan individu, tanpa sentuhan dibenarkan

Sukan individu, tanpa sentuhan dibenarkan

Aktiviti latihan kemahiran kendiri seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw yang dilakukan secara berseorangan, gimnasium dan golf dibenarkan mulai esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti sukan dibenarkan seperti joging/brisk walking, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja. (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Bermula 12 Feb, kerajaan membenarkan aktiviti sukan khususnya yang bersifat individu dan tanpa sentuhan bagi tujuan kecergasan diri, penjagaan kesihatan individu dan peningkatan kemahiran kendiri serta kelangsungan industri sukan negara.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti sukan dibenarkan seperti joging/brisk walking, berbasikal dan senaman yang terhad kepada dua orang dan dilakukan dalam kawasan kejiranan sahaja.

“Tenis/ Badminton/ ping pong (acara perseorangan sahaja) dan permotoran (dua roda dan empat roda).

“Aktiviti latihan kemahiran kendiri seperti bola sepak, bola keranjang, hoki dan sepak takraw yang dilakukan secara berseorangan, gimnasium dan golf,” katanya pada sidang media.

Ismail berkata, penggunaan fasiliti sukan dan rekreasi komersial seperti pusat kecergasan, gimnasium, dewan badminton, gelanggang tenis, ping pong, sepak takraw, padang hoki, bola sepak, futsal, bola keranjang, pusat litar permotoran dan padang golf hendaklah secara penjadualan dan tempahan.

“Walk-in tidak dibenarkan,” katanya.

Ismail berkata, sehingga kini semua jenis sukan dan aktiviti rekreasi yang melibatkan sentuhan, masih lagi tidak dibenarkan.

Katanya, SOP terperinci boleh dirujuk di laman sesawang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pematuhan SOP turut akan dipantau oleh pasukan sukarelawan yang ditubuhkan atas inisiatif KBS iaitu Rakan Muda Sports Bubble Volunteers,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata kerajaan bersetuju membenarkan operasi kolam pancing, “houseboat”, pelantar pancing (kelong), rumah rakit dan bot/vesel memancing berdasarkan SOP yang ketat berkuatkuasa esok.

Beliau berkata, kerajaan turut membenarkan institut memandu dan pusat latihan penerbangan beroperasi dengan SOP ketat bermula esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.