SME hargai Geran Khas Prihatin 2.0 dalam tempoh genting

SME hargai Geran Khas Prihatin 2.0 dalam tempoh genting

Segelintir SME telah lama berjuang untuk terus bertahan sepanjang krisis kesihatan yang berlarutan ini.

Perusahaan mesti belajar cara menyesuaikan diri dengan keadaan semasa untuk bertahan sepanjang wabak Covid-19, kata kumpulan SME.
PETALING JAYA:
Walaupun perusahaan kecil dan sederhana (SME) menanti-nantikan pelonggaran sekatan perjalanan, Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 telah membolehkan mereka untuk bertahan sepanjang wabak Covid-19.

Presiden Persatuan SME Malaysia Michael Kang berkata, pemberian geran khas itu membantu perniagaan SME bertahan walaupun banyak yang “masih parah” dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 ini.

Katanya kepada FMT, penyelesaian jangka panjangnya adalah dengan membenarkan SME dalam semua sektor beroperasi sepenuhnya dan menjana sendiri aliran tunai.

Beliau menambah, satu lagi lanjutan automatik moratorium pinjaman dan subsidi sewa mampu membantu SME menghadapi situasi ekonomi semasa.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) Kam Lian Hooi berkata, pemberian geran pusingan kedua ini sangat membantu perniagaan tertentu yang memerlukan sokongan kewangan dalam tempoh yang mencabar ini.

Anggota Samenta lebih berminat dengan pelanjutan program subsidi gaji kerana 70% daripada mereka telah mendapat manfaat daripada skim itu Disember lalu, katanya.

Tambah Kam, program ini telah menghalang 90% majikan SME daripada memberhentikan pekerja mereka, sementara baki 10% lagi adalah SME mikro yang mempunyai kurang daripada 10 kakitangan.

“Geran dan subsidi upah sangat membantu, seperti yang kita lihat di luar negara, di mana kerajaan lain juga memberikan subsidi upah untuk membantu rakyat mereka sepanjang wabak,” katanya kepada FMT.

Walaupun mendapat bantuan kewangan daripada kerajaan, Kam menekankan bahawa aspek terpenting untuk perniagaan bertahan sepanjang wabak ini adalah belajar cara menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

“Selain menerima geran, mereka harus mengambil inisiatif dan berusaha untuk mendapatkan keuntungan untuk diri mereka sendiri. Mereka tidak lagi boleh menjalankan perniagaan seperti sebelumnya,” katanya.

Kementerian Kewangan telah mula menyalurkan bayaran berjumlah RM155 juta kepada sekitar 52,000 pemilik SME yang memohon untuk mendapatkan GKP 2.0 sejak Jumaat lalu.

Jumlah penerima, termasuk daripada kumpulan pertama, hampir mencecah 900,000 perusahaan dengan bantuan kewangan bernilai RM2.7 bilion.

Bulan lalu, ketika mengumumkan pakej PERMAI bernilai RM15 bilion, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan pemberian geran khas itu akan diperluas kepada lebih 500,000 SME di negeri-negeri di bawah PKP2.0, dengan masing-masing menerima RM1,000.

Peluasan itu melibatkan dana tambahan sebanyak RM650 juta, sementara SME di negeri-negeri lain masing-masing akan menerima RM500.

Untuk lebih maklumat mengenai inisiatif-inisiatif bantuan kerajaan, sila lawati laman ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.