
Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluarkan arahan itu selepas timbalan pendakwa raya Mohamad Mustafa P Kunyalam memaklumkan kepada mahkamah, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman, cuti sakit hari ini.
“Dia demam,” kata Mustafa.
Justeru, Sequerah memberitahu pihak pendakwaan untuk meminta Hazem menjalani ujian calitan Covid-19, dan memanggil saksi berikutnya supaya perbicaraan dapat diteruskan.
“Dan tolong gunakan sumber yang ada untuk memastikan saksi lain hadir di mahkamah menjelang 11 pagi,” kata beliau.
Mustafa memberitahu mahkamah, saksi berikutnya adalah seorang warga emas dan pihak pendakwaan akan membawanya ke mahkamah menjelang 1 tengah hari.
Beliau kemudian memberitahu wartawan, pihak pendakwaan akan memanggil bekas timbalan ketua setiausaha Kabinet Mazidah Abdul Majid ke kandang saksi.
Najib berdepan 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram menggunakan dana disyaki milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang dimasukkan ke akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.