
Bagaimanapun, Liew mencadangkan agar kerajaan negeri memberikan peruntukan sama rata kepada kepada semua Adun, tidak kira di pihak kerajaan mahupun pembangkang, seperti yang dilakukan kerajaan Perak dan Johor.
“Kami menghargai pertimbangan dan keprihatinan yang diberikan dalam perkara ini, kerana dalam menjalankan tugas membantu rakyat, dana RM100,000 itu bukanlah jumlah yang besar untuk kami melaksanakan tugas di kawasan masing-masing.
“Selain peruntukan memerangi virus korona (Covid-19) kali ini, adalah lebih baik sekiranya Hajiji memberikan semua wakil rakyat pembangkang dana pembangunan kawasan mereka seperti yang diamalkan kerajaan Perak dan Johor,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, ketika mengulas isu peruntukan RM100,000 itu, Liew juga berharap Hajiji dapat mempertimbangkan penambahan dana sekiranya jumlah dana asal habis digunakan.
“Saya yakin beliau (Hajiji) boleh mempertimbangkan penambahan dana yang diperlukan sekiranya dana yang diberikan habis digunakan dalam usaha membantu rakyat.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri, Bung Moktar Radin, berkata kerajaan negeri sedia mempertimbangkan cadangan beberapa Adun pembangkang untuk mengagihkan peruntukan sama rata kepada semua wakil rakyat.
Katanya, kerajaan bersikap terbuka mengenai perkara itu namun perbincangan secara menyeluruh perlu dilakukan sebelum keputusan dibuat.
“Kita akan lihat cadangan ini sekiranya kerajaan negeri mempunyai kewangan yang mencukupi.
“Perkara ini belum pernah berlaku dalam pemerintahan mana-mana kerajaan, ketika (pemerintahan) Warisan pun tidak berlaku, jadi mungkin cadangan itu baik, kita terima secara terbuka tetapi perlu perbincangan yang menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Barisan Nasional (BN) kepada parti komponennya sempena Tahun Baharu Cina (CNY), di ibu pejabat Umno Sabah, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Hajiji mengumumkan kerajaan Sabah akan menyalurkan peruntukan khas sebanyak RM3.1 juta kepada ADUN pembangkang di negeri ini.
Jumlah itu membabitkan 31 ADUN pembangkang dan masing-masing akan menerima RM100,000 menerusi pejabat daerah di kawasan masing-masing bagi membantu mereka menangani penularan wabak Covid-19 di negeri ini.