
Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, kesatuan itu sedia membantu pekerja berkenaan dalam mendapatkan faedah lebih baik.
“Penubuhan kesatuan sekerja merupakan satu jaminan untuk kakitangan dalam sektor ini mendapatkan suasana kerja lebih baik di tempat kerja.
“Sehingga kini, MTUC tidak menerima aduan secara bertulis daripada pekerja J&T Express Sdn Bhd. MTUC sudah memaklumkan Kementerian Sumber Manusia (KSM) melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia berkaitan isu ini selepas tular di media sosial.
“JTKSM memaklumkan siasatan sudah dijalankan untuk menyelesaikan isu tersebut. MTUC akan sentiasa berhubung dengan KSM untuk mengetahui punca atas tindakan tersebut dan penyelesaian pada isu yang menjadi tular ini,” katanya dalam kenyataan.
Pada 7 Feb lalu, J&T Express memohon maaf susulan video didakwa menunjukkan pekerjanya melemparkan barangan milik pelanggan.
Syarikat itu berkata, insiden tersebut berpunca daripada sistem pengagihan bonus yang kurang jelas dalam kalangan pegawai jabatan, bukannya isu mogok seperti dibangkitkan di media sosial.
Syarikat itu dalam maklum balasnya berkata, pihaknya komited membangunkan sistem pampasan dan faedah lengkap bagi pekerja, seterusnya memberikan pembayaran pekerja akhir tahun selepas membuat pertimbangan komprehensif, bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang bonus dan Undang-Undang Perburuhan Malaysia.
Kamarul berkata, kesatuan itu sudah membawa isu membabitkan sektor kurier kepada pengetahuan menteri sumber manusia pada pertemuan 5 Jan lalu dan berpendapat masih ada beberapa isu yang perlu dikaji dan diberi perhatian oleh kementerian.
“Isu seperti tidak ada kontrak perkhidmatan, tiada kenaikan gaji tahunan, pembayaran gaji yang lewat dan pelbagai isu lagi. MTUC juga menggesa KSM memantau dan membuat pemeriksaan berkala kepada majikan dalam sektor ini supaya pekerja mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.