OKU ‘mereput’, masa depan kabur ketika PKP sekali lagi dilaksanakan

OKU ‘mereput’, masa depan kabur ketika PKP sekali lagi dilaksanakan

Kebanyakan orang kurang upaya tidak menerima bantuan seperti dijanjikan pakej rangsangan ekonomi.

Presiden Pusat Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) G Francis Siva berkata kebanyakan orang kurang upaya (OKU) tidak tahu dari mana untuk mendapatkan bantuan.
PETALING JAYA:
Situasi Covid-19 ketika ini sehingga menyebabkan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan benar-benar menekan golongan orang kurang upaya (OKU).

Aktivis komuniti OKU melahirkan kekecewaan, ketika golongan minoriti itu merasakan mereka semakin dipinggirkan daripada sebarang bantuan.

Mereka mendakwa, terdapat “lompong” dalam pemberian bantuan makanan atau kewangan apabila ia didapati tidak diagihkan dengan adil dan tepat kepada golongan sasar.

Presiden Pusat Latihan dan Hidup Berdikari Malaysia (ILTC) G Francis Siva berkata, biarpun dasar kerajaan meluluskan bantuan khusus kepada golongan terbabit, sehingga kini masih ramai yang belum menerima sebarang bantuan seperti dijanjikan.

“Kebanyakkan OKU daripada kumpulan yang sangat miskin. Ada yang mengadu kepada saya, mereka sudah menghubungi talian hotline Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dijanjikan bantuan. Namun, ia berkali-kali ditangguhkan.

“Setiap kali dihubungi, mereka suruh tunggu, nanti kami akan berikan. Namun sampai sekarang tidak ada apa-apa. Saya sendiri pernah hubungi talian itu. Saya diminta tunggu dan mereka kata akan hubungi saya semula. Namun, sehingga sekarang mereka tidak telefon saya.

“Bawah pakej rangsangan ekonomi, kami dijanjikan bantuan RM100. Namun tidak menerima satu sen pun. Itu yang paling menyedihkan,” katanya.

Francis yang juga seorang OKU berkata, akhirnya dia menerima bantuan dengan jumlah dijanjikan namun masih belum mencukupi.

Dengan situasi kini, kebanyakan OKU kehilangan pekerjaan dan ini sekali gus mengakibatkan mereka mungkin akan kehilangan tempat tinggal, akibat tidak dapat membayar sewa rumah selain menanggung komitmen lain.

Francis berkata, ada juga yang terpaksa meminjam wang daripada “alonga”, hanya untuk memastikan kelangsungan hidup.

“Saya perasan ramai yang buntu dan sudah tidak tahu apa yang boleh mereka lakukan. Saya hanya boleh bantu mereka yang tinggal di kawasan Selangor dan Gombak.

“JKM perlu datang dan melawat golongan ini di rumah mereka. Mereka (JKM) tidak pernah datang. Datang dan lihatlah sendiri keadaan mereka,” kata Francis.

“Sudah ada arahan kepada akar umbi untuk membantu kami. Tetapi bantuan ini tidak sampai kepada yang memerlukan. Mereka ada peruntukan logistik dan sebagainya untuk menziarahi kami”.

Menyimpulkan OKU sebagai golongan paling memerlukan bantuan, beliau turut menjelaskan kebanyakan mereka tidak tahu dari mana untuk mendapatkan pertolongan.

Mereka tidak mampu bersuara untuk mempertahankan hak sendiri, dan semua sedia maklum, kebanyakkan OKU tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

“Tiada sistem sokongan. Tidak cukup dengan itu, ketika ini tiada siapa dibenarkan keluar bawah pelaksanaan PKP. Jadi, mereka hanya menunggu. Ada yang bersendirian menghadapi situasi ini,” kata Francis.

Selain aspek fizikal, golongan OKU turut berdepan cabaran dari segi mental. Mereka lebih mudah mengalami masalah mental seperti kemurungan dan gangguan kegelisahan dengan simptom lebih serius.

Beliau berkata, OKU juga terpaksa menanggung pembiayaan perubatan sendiri, biarpun tidak mempunyai pendapatan.

Bagi mereka, masa depan semakin kabur dengan tiada kepastian bila PKP akan berakhir, dan kebanyakannya sudah mula putus asa.

“Kami mahu membantu mereka (OKU). Kami sudah mengumpulkan bantuan untuk menanggung bekalan mereka dalam sebulan dua ini. Kami hantar makanan ke rumah mereka. Tapi kami hanya boleh membantu mereka yang berada di sekitar kawasan ini,” kata Francis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.