
Kata beliau, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, keluhan rakyat sentiasa didengar tanpa mengira bangsa dan keturunan.
”Kekuatan Sabah terletak pada rakyatnya; kepelbagaian tradisi, etnik, dan bahasa tidak memisahkan kita malah membina sebuah masyarakat yang harmoni.
“Saya memberi jaminan kepada masyarakat Cina bahawa kerajaan sentiasa mendengar permasalahan mereka dan tampil dengan penyelesaian yang memberi manfaat.
”Selain itu juga, kerja keras dan komitmen mereka dalam memajukan bidang perniagaan perlu dicontohi oleh sesiapa juga yang berhasrat untuk menjadi usahawan,” kata beliau dalam perutusan khas sempena Tahun Baru Cina yang disiarkan di Youtube.
Hajiji berkata, walaupun 2020 tahun yang sukar buat negeri itu, rakyat harus menerimanya dengan redha dan penuh ketabahan.
“Bagi kita di Sabah, memastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang adalah penting, seperti ciri-ciri yang ada pada lembu (binatang dalam kalendar Cina tahun ini) iaitu rajin, bertanggungjawab, berani, mahir dan yakin.
”Sejajar dengan itu juga, kerajaan negeri pimpinan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) telah merangka satu pelan pembangunan yang holistik bagi menjana semula pertumbuhan ekonomi iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan 2021-2025) selama lima tahun di negeri ini.
”(Pelan) ini memberi penekanan terhadap sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan selain memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau,” kata beliau.