200 klinik swasta sedia tawar suntik vaksin percuma

200 klinik swasta sedia tawar suntik vaksin percuma

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata, beliau yakin jumlah klinik yang menyertainya akan bertambah.

Putrajaya perlu memastikan setiap negeri bersiap sedia sebaik sahaja rancangan vaksinasi dibuat. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kira-kira 200 klinik swasta di negeri ini telah bersetuju untuk membantu dalam pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada mereka yang layak secara percuma.

Exco kerajaan negeri Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo ketika mengumumkannya dalam sidang media berkata, beliau yakin jumlah klinik yang menyertainya akan bertambah.

“Musuh kita ialah Covid-19. Pulau Pinang bersiap sedia melakukan segala yang perlu untuk bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam memerangi Covid-19,” katanya, sambil menambah bahawa kerajaan negeri lain harus melakukan perkara yang sama dengan meminta bantuan klinik swasta.

Beliau turut menggesa menteri sains, teknologi, dan inovasi Khairy Jamaluddin, untuk memastikan kerajaan negeri lain juga dalam keadaan bersiap sedia sebaik rancangan vaksinasi menyeluruh dibuat.

Jagdeep, yang juga pengerusi jawatankuasa kerajaan tempatan, berkata kepada media, rancangan vaksinasi itu perlu menjelaskan had logistik tertentu, terutama yang membabitkan penjadualan.

“Di Pulau Pinang sahaja, dua hingga tiga bulan diperlukan untuk menyaring 50,000 daripada 140,000 pekerja asing.

“Jadi, kita tidak perlu membuang masa dan mempersiapkan diri untuk vaksin tersebut. Ia juga tidak harus dipandang ringan,” katanya yang bimbang dengan kemampuan kerajaan untuk memvaksin semua orang dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Tambahnya, bantuan dari klinik swasta di negeri ini adalah sangat penting dalam memastikan sekitar 1.4 juta penduduk di Pulau Pinang menerima vaksin pada waktu yang ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.