Kadar kebolehjangkitan Covid-19 turun kepada 0.94, kata KP kesihatan

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 turun kepada 0.94, kata KP kesihatan

Noor Hisham Abdullah berkata, penularan virus akan terhenti sekiranya orang ramai dapat kekal berada di rumah dalam tempoh dua minggu akan datang.

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara pernah mencapai kemuncak 2.2 selepas pilihan raya negeri di Sabah pada 26 Sept 2020.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 untuk seluruh negara jatuh kepada anggaran 0.94 berbanding tahap berisiko melebihi 1.0, hanya seminggu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, belum waktunya untuk berehat kerana sasaran adalah mencapai nilai R0 (R-naught) di bawah 0.6.

Sekiranya nilai R0 lebih rendah daripada 1, maka penyebaran virus menjadi lebih lambat dan sistem penjagaan kesihatan tidak akan terbeban, memberi peluang lebih baik kepada pesakit untuk sembuh.

Jika nilai R0 ialah 1, ia bermaksud setiap 10 orang yang dijangkiti virus itu berpotensi menyebarkannya kepada 10 orang lain.

Hisham berkata, nilai R0 negara adalah 1.16 pada 31 Jan lalu. Nilai itu pernah mencapai kemuncak 2.2 selepas pilihan raya negeri di Sabah pada 26 Sept tahun lalu.

Katanya, walaupun kadar jangkitan lebih rendah dapat dikaitkan dengan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan, kadar itu akan menjadi lebih rendah sekiranya semua orang kekal di rumah dan mematuhi SOP.

“Sekiranya semua orang boleh duduk di rumah selama dua minggu, kita akan dapat menghentikan penularannya. Soalnya, mampukah kita?” katanya kepada FMT.

Ahli virologi sebelum ini berkata, nilai R0 rendah akan memastikan vaksin Covid-19 lebih berkesan untuk mengurangkan kes. Ini kerana, jumlah kes lebih rendah bermakna jumlah orang untuk divaksinasi berkurangan dan pemulihan lebih cepat.

Dalam catatan Twitter pagi ini, Hisham berkongsi nilai R0 untuk setiap negeri.

Tiga negeri dengan nilai R0 tertinggi adalah Johor pada 1.11, diikuti Selangor dan Melaka, pada 1.09.

Sementara itu, Kuala Lumpur dan Sarawak ialah 1.03, Pulau Pinang (0.97), Pahang (0.97), Labuan (0.96), Terengganu (0.95), Negeri Sembilan (0.93), Kedah (0.87), Perak (0.87), Sabah (0.83), Kelantan (0.8), Putrajaya (0.76) dan Perlis (0.65).

Sebanyak 238,721 kes Covid-19 direkodkan di seluruh negara setakat semalam, dengan 50,894 kes aktif dan 12 kematian menjadikan keseluruhan 857 orang meninggal dunia akibat virus itu sehingga kini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.