
Presiden PIBGN Mohamad Ali Hasan dan Presiden PFM Amrahi Buang dalam kenyataan bersama memaklumkan keutamaan ini wajar agar sekolah-sekolah boleh dibuka semula dan demi memastikan persekitaran selamat untuk anak-anak serta memberikan kestabilan ekosistem pendidikan.
“Tindakan ini akan mengurangkan kebimbangan dan keresahan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah masing-masing.
“Pengambilan vaksin ini akan meningkatkan keyakinan dan semangat guru-guru untuk kembali mengajar anak murid mereka di sekolah tanpa merasa khuatir sekiranya mereka yang jadi penyebab para pelajar dijangkiti,” menurut kenyataan itu.
Mereka berkata, suntikan vaksin Covid-19 tidak melibatkan individu berumur 18 ke bawah buat masa ini dan disebabkan itu, murid perlu dilindungi melalui pemberian vaksin kepada guru-guru yang mengajar mereka.
Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini dengan sasaran sebanyak 80% populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin secara percuma membabitkan tiga fasa.