
Pengasas dan Pengarah Urusan Brickfields Asia College (BAC), Raja Singham mencadangkan sesi tambahan peperiksaan dan peperiksaan yang diawasi secara maya, di mana calon dipantau melalui kamera web, sebagai sebahagian daripada pelan sandaran.
Katanya, terdapat keperluan semua peperiksaan menerapkan inovasi dan empati lebih besar untuk penilaian tahun ini.
Beliau menggesa kerajaan dan badan peperiksaan awam mempertimbangkan cadangan itu kerana negara lain menggunakan kaedah penilaian berbeza untuk pelajar melanjutkan pelajaran serta kerjaya.

Raja juga menyeru KPM bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), syarikat telekomunikasi dan pihak berkepentingan berkaitan, memberi lebih banyak bantuan kepada pelajar kurang bernasib baik dalam era digital ini.
Katanya, Kementerian Pendidikan Tinggi dan institusi pendidikan tinggi swasta juga harus mempertimbangkan “polisi holistik kemasukan ke universiti” untuk kohort itu.
“Ada keperluan untuk menjadi kreatif, inovatif, kolaboratif dan menghadapi perubahan, bukannya bertegas melakukan sesuatu seperti 50 tahun lalu.”
Terdahulu, bekas perdana menteri, Najib Razak mendesak kerajaan mencari jalan keluar untuk pelajar dan ibu bapa yang bimbang akan kekurangan masa untuk bersedia menghadapi peperiksaan akan datang.
Beliau mencadangkan peperiksaan SPM ditangguhkan selama dua minggu supaya calon dapat mengikuti pelajaran tambahan selepas cuti Tahun Baru Cina, dan pelajaran atau tutorial dalam talian disediakan sehingga peperiksaan bermula 22 Feb.