Prospek cerah, banyak manfaat, Sime Darby ‘umpan’ pekerja tempatan

Prospek cerah, banyak manfaat, Sime Darby ‘umpan’ pekerja tempatan

Sime Darby tawarkan peluang pekerjaan huluan dan hiliran, tepis tanggapan sektor itu dalam kategori industri kotor, berbahaya dan sukar.

Sime Darby berkata ia menawarkan banyak manfaat menarik.
KUALA LUMPUR:
Sime Darby Plantation Bhd mempelawa rakyat tempatan menyertai pelbagai peluang pekerjaan dalam operasi huluan dan hiliran syarikat tersebut berikutan prospek industri itu yang lebih cerah.

Ketua Pegawai Perkhidmatan Operasinya Adi Wira Abd Razak berkata ini juga sekali gus dapat menepis salah tanggapan mengenai sektor itu berada dalam kategori industri kotor, berbahaya dan sukar (3D).

“Agak menyedihkan apabila kita melihat penurunan minat rakyat tempatan, terutamanya generasi muda sejak beberapa tahun lepas untuk mengambil peluang menyertai pelbagai pekerjaan dalam industri ini.

“Mungkin ini disebabkan terdapatnya tanggapan salah bahawa ini adalah sebahagian daripada industri 3D sedangkan hakikatnya itu tidak lagi sedemikian,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Malah, beliau berkata Sime Darby Plantation telah berusaha melaksanakan aspek mekanisasi serta digitalisasi kerja-kerja di lapangan bagi meningkatkan aspek kecekapan, produktiviti selain memastikan keselamatan pekerja pada setiap masa.

“Kami menawarkan banyak manfaat menarik bagi mewujudkan persekitaran kerja dan tempat tinggal yang kondusif untuk pekerja serta keluarga mereka.

“Ini adalah antara komitmen kami untuk melindungi dan menghormati hak semua pekerja kami tanpa mengira aspek jantina, latar belakang etnik serta agama mereka,” katanya.

Menurut Adi Wira, peluang pekerjaan itu turut disertai latihan, panduan dan sokongan sewajarnya bagi memastikan pekerja baharu mempunyai kepakaran bagi menjalankan tugas mereka serta membina karier progresif dalam industri perladangan.

Beliau berkata, usaha menarik penyertaan rakyat Malaysia juga menjadi sebahagian daripada langkah bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam industri tersebut.

“Kami sememangnya giat mengambil khidmat warga tempatan sejak tahun lepas dan berharap dapat melihat bilangan pekerja ini terus meningkat.

“Prospek masa depan industri ini cerah berikutan kepentingan minyak sawit dan khasiatnya kepada dunia. Lebih 50 peratus produk yang anda lihat di pasar raya di serata dunia mengandungi minyak ini yang sukar digantikan dengan sumber alternatif,” katanya.

Menurutnya, atas alasan itu, pihaknya yakin industri sawit akan terus berkembang dan menyediakan peluang dan pekerjaan menjaminkan untuk mereka yang bersedia merebut kesempatan dalam sektor berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.