
Ketua Polis Daerah Langkawi, Shariman Ashari berkata, anggotanya yang membuat rondaan bagi memastikan SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0 dipatuhi di sekitar kawasan perumahan di Ayer Hangat, mengesan kehadiran kumpulan berpakaian sedondon itu, kira-kira 6.30 petang Rabu lalu.
“Semasa rondaan, anggota polis ternampak kumpulan tersebut yang terdiri daripada sepasang pengantin dan 17 individu, termasuk pengiring pengantin (seorang lelaki, 16 perempuan) berada berhampiran sungai dan mengambil gambar beramai-ramai.
“Hasil siasatan mendapati mereka tinggal di kawasan perumahan tersebut serta ada yang datang dari beberapa lokasi lain sekitar pulau ini,” katanya semalam.
Shariman berkata, anggotanya kemudian menahan mereka kerana berkumpul dan tidak mempunyai asas kukuh untuk keluar rumah.
Katanya, mereka yang berusia 17 hingga 28 tahun itu dibawa ke Balai Polis Kuah untuk proses dokumentasi dan masing-masing dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang sebelum dibebaskan.
Pada 28 Jan lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dalam kenyataan memaklumkan perkhidmatan nikah, cerai serta rujuk dibenarkan seperti biasa mengikut SOP ditetapkan mulai 1 Feb lalu dan majlis akad nikah hanya akan dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah.