
Persatuan Penduduk TTDI berkata, sebagai pertubuhan mewakili ribuan pembayar cukai dan penduduk Kuala Lumpur di
sekitar Taman Rimba Kiara dan rumah panjang Bukit Kiara, mereka merayu datuk bandar Kuala Lumpur dan Yayasan Wilayah Persekutuan menunjukkan kesediaan mereka mematuhi keputusan mahkamah itu serta berhenti membazir dana awam dengan memfailkan lebih banyak rayuan.
“Sebagai penduduk KL, kami membantah penggunaan lebih banyak sumber oleh DBKL dan/atau Yayasan Wilayah Persekutuan untuk merayu satu keputusan yang begitu jelas dan muktamad dalam menangani isu undang-undang.
”DBKL adalah sebuah agensi kerajaan yang mempunyai peranan untuk mempromosi, memperjuang dan mempertahankan kepentingan rakyat.
“Kami menggesa DBKL melaksanakan peranan mereka dan tidak membelanjakan sumber berharga untuk mencabar kehendak rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Gesaan itu menyusul keputusan Mahkamah Rayuan pada 27 Jan lalu membatalkan perintah pembangunan dikeluarkan DBKL bagi projek pembinaan unit kediaman di Taman Rimba Kiara, selepas membenarkan rayuan Persatuan Penduduk TTDI.
Penduduk memfailkan semakan kehakiman itu pada 11 Ogs 2017 melalui badan pengurusan Trellises Apartment, Kiara Green Townhouse, Residence Condominium, TTDI Plaza Condominium, The Greens Condominium, selain Persatuan Penduduk TTDI serta empat penduduk dan pemilik rumah di TTDI.
Penduduk memohon perintah certiorari bagi membatalkan keputusan DBKL berhubung cadangan pembangunan bercampur, termasuk sebuah pangsapuri 29 tingkat membabitkan 350 unit mampu milik dan lapan blok pangsapuri perkhidmatan dengan lapan tingkat ruang parkir.
Mereka mendakwa tanah seluas 10.08 hektar di Taman Rimba Kiara adalah taman awam yang terletak antara TTDI dan Bukit Kiara serta kawasan hijau bagi Kuala Lumpur.
Persatuan penduduk itu menggesa Yayasan Wilayah Persekutuan memfokuskan penyediaan rumah mampu milik kekal atas tapak sedia ada seluas 4 ekar kepada 98 keluarga rumah panjang Bukit Kiara.
“Kami juga memohon untuk mengadakan pertemuan dengan menteri Wilayah Persekutuan dalam masa terdekat untuk secara kolektif merancang pembinaan rumah bandar seperti diusulkan kami, yang pada pendapat kami ianya selari semangat ‘Wilayah Prihatin’.