Tulisan menghasut, Umno buat laporan polis terhadap Tommy Thomas

Tulisan menghasut, Umno buat laporan polis terhadap Tommy Thomas

Ahmad Maslan membuat laporan polis berhubung kandungan buku bekas Peguam Negara yang didakwa berunsur hasutan.

Ahmad Maslan membuat laporan polis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini, berhubung buku ‘My Story: Justice In The Wilderness’ oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Menerusi kenyataan Maslan, laporan itu dibuat setelah pihaknya mendapati buku tersebut mempunyai kesalahan fakta dan unsur hasutan yang boleh mencetuskan rasa tidak senang antara kaum di Malaysia yang mendorong kepada tindakan berbaur perkauman ke atas kerajaan atau Raja.

“Saya membuat laporan polis ini kerana wujudnya niat dan motif tidak baik oleh seorang yang pernah menjadi Peguam Negara, dengan demikian perlu disiasat segera dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” kata Maslan.

Menurutnya, berhubung rusuhan 13 Mei, Thomas tanpa sebarang bukti telah menuduh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak sebagai dalang di sebalik kejadian itu.

Katanya, buku itu mendakwa, ini kononnya kerana Allahyarham menyedari tidak dapat hidup lama kerana berpenyakit leukemia, seterusnya cuba merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman.

Maslan berkata, penulis buku menggambarkan Tun Razak telah bersekongkol dengan menteri besar Selangor ketika itu, Harun Idris serta Umno dengan menggalakkan orang Melayu membunuh bukan Melayu (khasnya orang Cina) beramai-ramai.

Malah, katanya, penulis juga menuduh Tun Razak sengaja mengisytiharkan perintah darurat dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (NOC) untuk mendapatkan kuasa mutlak di bidang politik, dengan mengetepikan Parlimen (kerana digantung) dan pemansuhan Kabinet.

“Thomas turut menggambarkan Umno terbabit secara langsung dengan bidang kuasa polis dan tentera dalam konspirasi cubaan rampasan kuasa itu.

“Beliau mendakwa tiada siasatan pernah dibuat bagi memastikan punca rusuhan, dan dengan itu merumuskan bahawa Tun Razak dan konco-konco politiknya dilindungi daripada mata umum sebagai pencetus rusuhan,” ujarnya.

Sementara itu, Maslan turut mendakwa Thomas menuduh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia telah menceroboh sekolahnya, Victoria Institution Kuala Lumpur kerana kurang senang dengan cara pengetuanya mentadbir sekolah secara meritokrasi.

Ujar Maslan, Thomas seakan memberi bayangan bahawa rusuhan 13 Mei 1969 membawa kepada termaktubnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang antara lain membantu golongan Melayu sambil menindas bukan Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.