Daripada pengusaha syarikat bas, kini jual air kelapa

Daripada pengusaha syarikat bas, kini jual air kelapa

Shiella Tukimin yang mengusahakan syarikat sewaan bas sebelum ini dengan pantas mencari lubuk rezeki baharu dengan menjual air kelapa.

Pengusaha perniagaan air kelapa Shiella Tukimin berkata walaupun pendapatannya tidak seperti dahulu, usaha itu membolehkannya mengharungi kehidupan dalam tempoh sukar ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang pandemik Covid-19 bukan penghalang buat golongan rentan seperti B40 untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Di sebalik mengharapkan bantuan kerajaan, mereka perlu berikhtiar demi kelangsungan hidup dalam waktu mencabar ini.

Presiden Persatuan Wanita Ibu Tunggal (WITUS) Shiella Tukimin yang sebelum ini mengusahakan syarikat sewaan bas juga terkesan teruk akibat Covid-19, namun beliau dengan pantas mencari lubuk rezeki baharu, menjual air kelapa tanpa sebarang insentif kerajaan.

“Sedia maklum hampir setahun juga bas tidak beroperasi, kami sangat tertekan dan cara saya mengatasinya adalah menjana pendapatan sendiri.

“Saya menjalankan perniagaan membekal dan menjual kelapa muda dan air tebu. Jadi saya membeli sebuah lori dan daripada situ saya menghantar, menjadi pembekal buah kelapa muda untuk diniagakan rakyat yang terkesan bagi mencari pendapatan sampingan,” katanya kepada Bernama.

Shiella berkata, walaupun pendapatannya tidak seperti dahulu, usaha itu membolehkannya mengharungi kehidupan dalam tempoh sukar ini.

Tindakan Shiella juga disokong Ketua Pendidikan Kewangan Isi Rumah Agensi Khidmat Pengurusan Kewangan (AKPK) Nirmala Supramaniam.

“Elemen pendapatan itu haruslah dipelbagaikan di waktu ini. Kita kena ada sokongan dan sila berhati-hati dengan realiti jenayah kewangan yang banyak berleluasa sekarang.

“Tolong hati-hati dalam proses pelbagaikan pendapatan, jangan pula hilang semuanya,’’ kata Nirmala ketika dihubungi.

Nirmala berkata, walaupun pelbagai insentif disediakan kerajaan termasuk Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, Kita Prihatin dan pelbagai lagi, namun berusaha sendiri seperti Shiella harus dipuji.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.