Undang-undang akan dipinda supaya lebih tegas kekang Covid-19, termasuk penjara, tutup premis

Undang-undang akan dipinda supaya lebih tegas kekang Covid-19, termasuk penjara, tutup premis

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan mahu meminda undang-undang bagi membolehkan tindakan lebih tegas terhadap pelanggaran SOP cegah wabak.

PETALING JAYA:
Kerajaan mahu meminda undang-undang bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih cepat dan tegas terhadap pelanggaran SOP pencegahan wabak Covid-19, termasuk jenis dan kadar hukuman.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya berkata antara hukuman yang diteliti Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat adalah penutupan serta-merta premis perniagaan, penjara, dan kadar denda yang lebih tinggi terhadap pesalah berulang.

“Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat telah meneliti peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) yang perlu dipinda untuk membolehkan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan cepat diambil,” katanya.

Turut dipertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemilik perniagaan, pemegang francais, operator francais, dan pihak berkepentingan lain dalam rantaian organisasi perniagaan.

Rantaian pengurusan pekerja asing, meliputi majikan, dan ejen pembekal pekerja; kontraktor utama dan sub-kontraktor juga tidak akan terlepas.

Pindaan ini juga akan membolehkan tindakan tatatertib terhadap penjawat awam, termasuk ketua jabatan, berkaitan dasar bekerja dari rumah.

Kerjasama KKM dan hospital swasta

Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan Kementerian Kesihatan sudah memulakan kerjasama dengan 31 hospital swasta untuk penyumberluaran (outsource) rawatan sebahagian pesakit bukan Covid-19, membabitkan peruntukan RM27 juta tahun ini bagi tujuan tersebut.

KKM juga mendapat kerjasama baik daripada hospital swasta dalam pengurusan dan rawatan pesakit Covid-19, katanya.

“Setakat 3 Februari 2021, pihak hospital swasta bercadang menyediakan 1,344 katil di wad biasa dan 65 katil di wad ICU,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.