
Beliau mendakwa Thomas tidak bertanggungjawab dan cuba menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Katanya, Thomas melanggar sumpah jawatan sebagai peguam negara untuk menjaga dan menyimpan rahsia kerajaan, walaupun beliau tidak lagi menyandang jawatan itu.
“Menjadi teras utama di dalam jabatan kerajaan apabila sesuatu maklumat yang diperolehi mana-mana pegawai diklasifikasikan ‘rahsia besar’, rahsia’ atau ‘sulit’ tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi dan tidak sepatutnya dikongsi kepada umum, apatah lagi dijadikan ‘pelaris’ kepada buku yang mengetengahkan pandangannya dan bukan fakta,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Semalam, polis dilaporkan berkata, mereka akan memanggil Thomas selepas bekas pegawai penyelidik kanan di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan, Mohamad Hanafiah Zakaria membuat laporan polis kelmarin, berhubung dakwaan kontroversi dalam memoirnya “My Story: Justice in the Wilderness”.
Zahid berkata, Thomas bukan saja memperlekehkan timbalan pendakwa raya, malah seluruh Jabatan Peguam Negara yang pernah diterajui.
“Ini boleh mengundang persepsi negatif masyarakat berkenaan keupayaan dan kebolehan pegawai Jabatan Peguam Negara yang berkorban untuk berkhidmat kepada negara.
“Komen bahawa pegawai kerajaan hanya menantikan pangkat, gaji di hujung bulan dan faedah pencen adalah satu kenyataan tidak bertanggungjawab, terutamanya apabila ia datang dari (bekas) ketua jabatan di jabatan tersebut, iaitu peguam negara.”