Sembahyang, ‘makan besar’ Tahun Baru Cina hanya untuk ahli keluarga serumah

Sembahyang, ‘makan besar’ Tahun Baru Cina hanya untuk ahli keluarga serumah

Hanya lima ahli jawatankuasa tokong dibenarkan menghadiri upacara sembahyang di tokong.

Aktiviti tarian singa dilarang sama sekali sempena sambutan Tahun Baru Cina tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jamuan “makan besar” pada malam Tahun Baru Cina dan tradisi lain hanya dibenarkan untuk ahli keluarga yang tinggal dalam rumah sama, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, hanya lima ahli jawatankuasa tokong dibenarkan menghadiri upacara sembahyang di rumah ibadat itu.

“Masyarakat Cina digalakkan melakukan upacara sembahyang di rumah masing-masing saja.

“Persembahan dan aktiviti kebudayaan seperti tarian singa, naga, perarakan tanglung, chingay, opera Cina atau pertunjukan pentas tidak dibenarkan.

“Aktiviti ziarah rumah ke rumah juga tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, SOP bagi sambutan Tahun Baru Cina di Sarawak yang dikenakan PKP bersyarat akan diumumkan kerajaan negeri.

Belum gagal bendung Covid-19

Ismail Sabri menolak dakwaan kerajaan gagal membendung penularan Covid-19 kerana kes harian masih mencatatkan empat digit.

“Kita pernah berjaya sekali, tetapi kita masih belum gagal.

“Ini terbukti melalui hasil kajian Lowy Institute, badan pemikir berpusat di Sydney, Australia terhadap Malaysia berkenaan kecekapan menguruskan Covid-19.”

Katanya, Malaysia di tangga ke-16 daripada 98 negara, mengatasi Jepun dan Korea Selatan dengan skor 71%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.