Pekerja asing bersesak dalam asrama kontena tanpa pengudaraan baik

Pekerja asing bersesak dalam asrama kontena tanpa pengudaraan baik

JTK mendapati kontena itu menempatkan sehingga 10 pekerja, sedangkan ia hanya boleh memuatkan enam orang.

Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Perak, Muhamad Fauzi Abd Ghani memeriksa asrama kontena sebuah kilang yang menempatkan pekerja melebihi kapasiti tanpa penjarakan dan pengudaraan baik di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2 hari ini.
IPOH:
Sebuah kilang kejuruteraan besi di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2, dekat sini, didapati menempatkan kira-kira 40 pekerja asing dalam empat kontena diubah suai menjadi asrama yang tidak mengikut standard ditetapkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Kontena itu menempatkan sehingga 10 pekerja, sedangkan ia hanya boleh memuatkan enam orang.

Selain tidak ada penjarakan fizikal, asrama kontena itu juga tidak mempunyai pengudaraan baik, sempit dan tidak sesuai didiami.

Pemeriksaan JTK di bahagian belakang kilang berkenaan turut menemui dua bilik tanpa pengudaraan baik yang dibina menggunakan atap zink untuk dijadikan bilik penginapan dua pekerja.

Pengarah JTK Perak, Muhamad Fauzi Abd berkata, pemeriksaan hari ini hanya membabitkan asrama penginapan yang disediakan sebuah kilang mengambil pekerja asing.

“Siasatan, risikan dan maklumat JTK di Kawasan Perindustrian Pengkalan II saja ada 18 majikan yang menyediakan penempatan perumahan dan kesemua mereka belum membuat permohonan penginapan dari JTK.

Keadaan dalam asrama kontena yang sesak di Kawasan Perindustrian Pengkalan 2 di Ipoh.

“Kontena boleh diubah suai dan dijadikan tempat penginapan pekerja, namun ia mestilah mempunyai penjarakan, selain ruang pengudaraan yang selesa untuk mereka tinggal.

“Ruang tempat tidur mestilah berukuran 3.6m, jika untuk penginapan dormetri, namun majikan ini dikesan tidak menyediakan kemudahan mengikuti standard ditetapkan JTK, ” katanya selepas menyertai operasi bersepadu itu yang turut disertai Perkeso, polis, Jabatan Kesihatan Perak dan Majlis Daerah Batu Gajah.

Fauzi berkata, hasil pemeriksaan mendapati majikan itu tidak mematuhi keperluan mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Katanya, majikan itu juga gagal mendapatkan perakuan penginapan daripada ketua pengarah JTK mengikut Seksyen 24D (3) Akta 446 yang boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Jabatan Tenaga Kerja memeriksa sebuah bilik diperbuat daripada atap zink untuk dijadikan bilik penginapan dua pekerja asing.

Katanya, JTK akan membuka kertas siasatan terhadap kilang itu berdasarkan kesalahan yang dikesan.

Beliau berkata, JTK menerusi operasi di seluruh negeri mulai awal tahun ini mendapati kebanyakan majikan gagal memohon perakuan penginapan, selain asrama disediakan tidak menepati syarat dan peraturan JTK.

“Untuk itu saya nasihatkan majikan yang belum memohon perakuan penginapan supaya ke mana-mana enam cawangan pejabat JTK berdekatan di seluruh negeri untuk memohon.”

Operasi hampir tiga jam hari ini membabitkan pemeriksaan di asrama penginapan pekerja, membabitkan unit rumah kedai di Bandar Sri Pengkalan dan asrama kontena di belakang kilang berkenaan.

JTK turut menjalankan pemeriksaan terhadap pekerja, sama ada mereka sudah melakukan ujian saringan Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.