Gangguan internet di negeri utara akibat kabel putus

Gangguan internet di negeri utara akibat kabel putus

TM berkata, kejadian itu berpunca daripada kerja penggalian oleh syarikat utiliti dan satu lagi akibat vandalisme.

TM tidak memaklumkan bila perkhidmatan internetnya dijangka pulih sepenuhnya.(Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Telekom Malaysia Berhad (TM) berkata, empat negeri di utara Semenanjung – Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis – mengalami gangguan perkhidmatan internet akibat tiga kabel utama terputus yang dipercayai berlaku pada petang Rabu.

Dalam respons terhadap pertanyaan FMT, TM berkata, dua daripada kabel itu terputus akibat kerja penggalian oleh syarikat utiliti dan satu lagi dipercayai berpunca daripada vandalisme.

Katanya, pasukan teknikalnya sedang berusaha membaiki kabel itu di lokasi kejadian dan kerja baik pulih kabel akan “mengambil sedikit masa” kerana kerumitan penyambungan semula.

“Sebagai langkah segera, kami melencongkan trafik untuk memastikan pelanggan kami berdepan gangguan minimum terhadap perkhidmatan mereka.

“Pasukan teknikal kami bekerja tanpa henti untuk semuanya kembali normal secepat mungkin,” kata TM.

Bagaimanapun, syarikat itu tidak memaklumkan bila perkhidmatan internet dijangka pulih sepenuhnya.

FMT difahamkan oleh pasukan teknikal di lokasi kejadian yang kabel terputus itu berlaku antara Pantai Remis dan Sitiawan di Perak, serta Tanjung Malim dan Tapah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.