Tamak kerusi tak menguntungkan pembangkang Sarawak, kata penganalisis

Tamak kerusi tak menguntungkan pembangkang Sarawak, kata penganalisis

Penganalisis sosio-politik, Awang Azman Pawi berkata, PH Sarawak dan PSB perlu bekerjasama untuk mengurangkan perpecahan undi dan meningkatkan peluang kemenangan mereka.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, menyuarakan airing out their grievances in public will make Sarawak opposition parties look bad.
KUCHING:
Ia akan menjadi kerugian besar buat pembangkang di Sarawak, jika mereka gagal mencapai persetujuan dalam pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Penganalisis sosio-politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, keadaan itu tidak akan menguntungkan mana-mana parti pembangkang, sebaliknya kedudukan parti pemerintah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertambah kukuh.

Katanya, disebabkan parti pembangkang mempunyai musuh politik sama, iaitu kerajaan GPS, Pakatan Harapan Sarawak dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) perlu bekerjasama untuk mengurangkan perpecahan undi dan meningkatkan peluang kemenangan mereka.

“DAP, PKR dan PSB perlu fokus menentang GPS, bukannya bergaduh sesama sendiri untuk bertanding di lebih banyak kerusi. Mereka tidak patut terlalu tamak mengenai kerusi,” katanya kepada FMT.

Awang Azman mengulas kenyataan Ketua PKR Sarawak, Larry Sng di Facebook yang berkata, tiada kemungkinan untuk bekerjasama dengan PSB dalam PRN kerana parti itu mahu bertanding di semua 82 kerusi.

Sng berkata, tindakan PSB yang enggan bertolak ansur menyebabkan tiada ruang untuk mempertimbangkan kerjasama antara kedua-dua parti, serta PKR dan PSB berada dalam satu pakatan adalah tidak wajar.

Awang Azman berkata, sukar untuk PKR dan PSB bekerjasama kerana mereka tidak mempercayai satu sama lain serta ada kerusi yang hendak ditandingi kedua-dua parti.

“Ada kerusi yang kedua-dua parti fikir mereka boleh menang. Tetapi, mereka perlu berunding isu pengagihan kerus sesama mereka tanpa mengumumkannya atau mendedahkan di media kerana ia tidak menyelesaikan masalah.

“Ia hanya membuatkan semua parti pembangkang kelihatan sangat teruk.”

Bagaimanapun, James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania berkata, tiada kawan atau lawan tetap dalam politik kerana ia bergantung kepada keadaan.

James Chin.

“Jadi, saya percaya suasana akan berubah sebaik saja tarikh pilihan raya diumumkan.”

Penganalisis politik itu berkata, masalah antara pembangkang di Sarawak ialah PSB mahu bertanding di lebih 40 kerusi berdasarkan matlamat mereka untuk menubuhkan kerajaan negeri berikut.

“Jika lebih 40 kerusi diambil PSB, tiada kerusi mencukupi untuk DAP dan PKR. Jadi, kedua-dua pihak tidak boleh berdamai. Tetapi, keadaan akan berubah dan mereka mungkin perlu mencapai persetujuan menjelang pilihan raya nanti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.