Lebih banyak sektor akan dibuka semula secara kes mengikut kes

Lebih banyak sektor akan dibuka semula secara kes mengikut kes

Seorang sumber kerajaan berkata kadar insiden Covid-19 berbeza dalam pelbagai sektor.

Kementerian Kesihatan harus melihat kadar insiden, bukan jumlah mutlak kes yang cenderung menakutkan rakyat, kata seorang sumber.
PETALING JAYA:
Dengan pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) hingga 18 Feb, lebih banyak sektor ekonomi dan sosial akan dibuka semula secara kes mengikut kes, menurut sumber.

Seorang sumber kerajaan yang layak berkata, bukan semua sektor akan dibuka semula, kerana kadar insiden Covid-19 berbeza dalam pelbagai sektor.

Walaupun kebanyakan kes terjadi di tempat tinggal pekerja kilang, kata sumber itu, kadar insiden Covid-19 di sektor sosial dan perniagaan tertentu rendah.

“Mengapa ambil tindakan yang boleh menyebabkan kerosakan sampingan? Virus ada dalam kalangan masyarakat kita, tetapi kadar pemulihannya tinggi berbanding kes positif baharu, jadi kita baik-baik saja.

“Tetapi apa yang perlu kita lakukan adalah melindungi mereka yang rentan.

“Semakin banyak ujian kita lakukan, semakin tinggi jumlah kes (dilaporkan). Kementerian Kesihatan harus melihat kadar insiden, bukan jumlah mutlak yang cenderung menakutkan rakyat,” kata sumber itu.

Sumber itu juga berkata, sukan tidak bersentuhan seperti memancing, mendaki, berenang, dan bermain golf patut dibenarkan sepanjang tempoh lanjutan PKP, dan menambah, seni bela diri juga termasuk antara yang tidak melaporkan kes Covid-19.

“Sukan tertentu mesti dibenarkan tetapi dengan SOP yang jelas, menanam kesedaran mengenai risiko kontak rapat,” katanya.

Terdahulu, The Straits Times of Singapore melaporkan bahawa lebih banyak sektor ekonomi akan dibuka semula dengan pelanjutan PKP, termasuk dandanan rambut serta peniagaan runcit dan borong.

Memetik beberapa sumber, akhbar Singapura, The Straits Times melaporkan Putrajaya akan menyenaraikan sektor yang tidak dibenarkan beroperasi, bukannya yang boleh.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan mengadakan pertemuan maya dengan kumpulan-kumpulan perdagangan untuk memberi penerangan mengenai SOP baharu, lapornya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.