Ketepikan yuran meja snuker sepanjang PKP, kata persatuan

Ketepikan yuran meja snuker sepanjang PKP, kata persatuan

Selain sewa kedai, pengusaha kedai snuker dan biliard juga terpaksa menanggung kerugian kerana perlu membayar yuran RM55 sebulan untuk setiap meja.

KOTA KINABALU:
Persatuan Snuker dan Biliard Sabah (SSBA) memohon kerajaan negeri atau agensi berkaitan mengetepikan yuran lesen meja snuker dan billiard sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Frankie Kok, berkata pungutan yuran berkenaan tidak pernah dihentikan walaupun operasinya diarahkan tutup beberapa kali sejak Mac tahun lalu.

Katanya, selain membayar sewa kedai, pengusaha kedai snuker dan biliard juga terpaksa menanggung kerugian kerana perlu membayar yuran RM55 sebulan untuk setiap meja.

“Walaupun dibenarkan beroperasi, ramai pelanggan tidak berani datang untuk bermain kerana bimbang dengan penularan Covid-19.

Frankie berharap kerajaan turut memberi perhatian terhadap nasib pengusaha premis snuker dan biliard.

“Kerajaan atau pihak berwajib mungkin terlepas pandang mengenai isu bayaran yuran meja ini dan apa yang pasti, pelaksanaan PKP sememangnya amat menjejaskan perniagaan kami.

“Sehubungan itu, saya mewakili semua ahli persatuan merayu supaya perkara ini diambil perhatian oleh pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Frankie berkata, pihaknya bersedia mengadakan perbincangan dengan kerajaan atau agensi berkaitan bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu berkenaan.

“Kami amat berharap nasib pengusaha premis snuker dan biliard juga diberi perhatian kerana pendapatan mereka juga sangat terjejas seperti perniagaan-perniagaan lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.