JAS kesan 9 kuari di Manjung langgar 52 syarat EIA

JAS kesan 9 kuari di Manjung langgar 52 syarat EIA

Ini termasuk dua kuari yang dikesan melakukan kerosakan alam sekitar di dua lokasi dalam HSK Segari Melintang.

Pegawai Jabatan Alam Sekitar Perak melakukan pemeriksaan di beberapa kuari yang beroperasi di sekitar Manjung dalam Ops Gempur Kuari bermula semalam dan tamat hari ini. (Gambar Jabatan Alam Sekitar Perak)
PANTAI REMIS:
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesan 52 pelanggaran syarat kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) oleh sembilan pengusaha kuari yang beroperasi di seluruh Manjung dengan enam daripadanya di Hutan Simpan Kekal (HSK) Segari Melintang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, dua daripada kuari itu juga sudah diberikan perintah berhenti kerja kerana melanggar syarat ditetapkan.

“Dua kuari berkenaan adalah kuari yang dikesan melakukan kerosakan alam sekitar di dua lokasi dalam HSK Segari Melintang sebagaimana tular di media sebelum ini.

“Perintah henti kerja ini kita keluarkan untuk menghalang projek kuari berkenaan daripada terus beroperasi dan dalam tempoh itu, mereka perlu melaksanakan kerja-kerja baik pulih,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan selesai di Dewan Orang Ramai Sungai Batu di sini hari ini.

Ops Gempur Kuari bersepadu itu dilaksanakan JAS dengan kerjasama Jabatan Perhutanan dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak selama dua hari bermula semalam, yang selesai petang ini.

Katanya, hampir kesemua kuari berkenaan sudah menjalankan operasi di kawasan itu sejak 20 tahun lalu dan mempunyai kelulusan EIA selain mempunyai kebenaran beroperasi daripada JMG.

Mohd Akmal berkata, selain itu JAS turut mengeluarkan 12 arahan di lapangan, 15 notis arahan, 42 kompaun berjumlah RM84,000 serta membuka 10 kertas siasatan membabitkan operasi kuari sebelum melakukan pendakwaan.

FMT sebelum ini melaporkan aktiviti kuari yang dijalankan di kompartmen 16 HSK Segari Melintang menjadi punca kemusnahan alam sekitar di kawasan berkenaan termasuk satu air terjun yang kemudian hanya didakwa Jabatan Perhutanan sebagai alur air bermusim.

Tinjauan media bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM), Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) dan penduduk kampung ke air terjun tujuh tingkat setinggi kira-kira 300 meter itu mendapati pokok-pokok di kiri dan kanannya sudah dibersihkan, mengakibatkan kemusnahan yang teruk.

Tidak lama selepas itu, KUASA sekali lagi mendedahkan berlaku kesan kemusnahan alam sekitar daripada aktiviti kuari kesan penebangan hutan hingga mengakibatkan kawasan Pantai Teluk Akuan yang terletak di kompartmen 22 HSK berkenaan bertukar warna kepada merah kesan mendapan keladak atau sedimentasi.

Mohd Akmal berkata, ops gempur berkenaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan memberi mesej kepada semua pihak bahawa JAS dan agensi berkaitan serius serta komited dalam mengambil tindakan terhadap pesalahan alam sekitar.

“Ingin ditegaskan bahawa pihak yang didapati melanggar kehendak perundangan alam sekitar dari operasi ini akan terus dipantau dengan lebih dekat oleh JAS dalam menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.

Mohd Akmal berkata, orang ramai dialu-alukan untuk menjadi mata dan telinga JAS dengan melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.