
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang juga pengerusi bersama jawatankuasa itu, berkata rancangan imunisasi Covid-19 dijangka berjalan mengikut rancangan dengan jaminan daripada duta EU dan juga Belgium.
Beliau menerusi kenyataan berkata, Duta Besar Belgium, Pascal H Grégoire memberitahunya, Pfizer perlu memohon kebenaran untuk mengeksport vaksinnya bagi memenuhi perjanjian pembelian awal dengan Malaysia.
Katanya, Putrajaya meminta Pfizer mendapatkan kebenaran segera dari kerajaan Belgium untuk mengeksport vaksin itu.
“Untuk pengetahuan semua, penghantaran pertama sejuta dos vaksin Pfizer (bagi 500,000 orang) akan digunakan untuk tahap satu inokulasi petugas barisan hadapan dan akan dihantar secara berperingkat pada suku pertama tahun ini.
Katanya, kedutaan EU dan Belgium di Malaysia akan mengeluarkan kenyataan mengenai jaminan bekalan vaksin tersebut.
Minggu lalu, EU dilaporkan akan melaksanakan kawalan eksport ke atas vaksin, yang berpotensi melumpuhkan bekalan ke banyak negara, termasuk Malaysia.
Terdahulu, Khairy berkata, petugas barisan hadapan dari sektor kesihatan dan keselamatan akan divaksin terlebih dahulu, diikuti warga emas dan pesakit menghidap penyakit kronik.
Katanya, Malaysia kini di landasan betul dan bakal menerima bekalan vaksin Pfizer bulan depan – sejuta dos pada suku pertama, diikuti 1.7 juta, 5.8 juta dan 4.3 juta pada suku berikutnya.