
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Harry Tan Huat Hock berkata, beliau menyambut baik langkah syarikat TELCO yang memperuntukkan data percuma bagi membantu melancarkan PdPR dalam kalangan pelajar sekolah.
“NUTP memang sentiasa mengalu-alukan bantuan syarikat telekomunikasi yang prihatin membantu menjayakan PdPR, iaitu Celcom, Digi, Maxis, UMobile dan Telekom Malaysia (TM) yang memberikan peruntukan data percuma sejak April 2020 ini.
“Ini adalah satu initiasitif yang baik, mohon diuar-uarkan sepenuhnya agar pelajar kita memahami langkah berkenaan,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Harry berkata NUTP juga berharap kerajaan dapat mewujudkan satu pasukan petugas bagi menangani masalah peranti dan akses internet untuk membolehkan pelajar terutama di luar bandar serta pedalaman mengikuti proses PdPR dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, pasukan petugas itu perlu dianggotai wakil Kementerian Pendidikan (KPM), syarikat pembekal teknologi, penderma dan pihak berkepentingan lain.
“Bagi jalinan internet, pihak kami ingin mencadangkan kepada kerajaan untuk memberi lesen lagi kepada lain-lain pengusaha internet agar dapat memacu capaian internet di semua pelusuk negara.
“Ini penting kerana semua pihak mengharapkan kerajaan untuk menerajui inisiatif membekalkan peranti dan mengadakan jalinan internet,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan dua masalah utama dihadapi pelajar adalah dari segi akses internet yang terhad dan mahal, selain isu kekurangan peranti sehingga ada antara mereka terpaksa berkongsi lebih dua orang untuk mengikuti PdPR.
Satu lagi masalah dihadapi ibu bapa adalah lambakan kerja sekolah diberikan guru, selain mereka tiada masa dan pengetahuan cukup untuk memberikan tunjuk ajar kepada anak berkaitan subjek diajar.
Malah, difahamkan ibu bapa terpaksa membelanjakan kira-kira RM30 seminggu untuk membeli data bagi membolehkan anak mereka mengikuti PdPR menerusi aplikasi Google Clasroom atau Google Meet dan sebagainya.
Terdahulu, KPM mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan 20 Jan di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa Covid-19.
Bagaimanapun, semua murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah tingkatan satu hingga lima perlu mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid.