Janji tinggal janji, impian bintang luncur ais cilik Malaysia di Latvia menuju ‘kehancuran’

Janji tinggal janji, impian bintang luncur ais cilik Malaysia di Latvia menuju ‘kehancuran’

Penaja yang berpotensi 'berundur' selepas kementerian dan MIC menabur janji, bintang luncur ais Sree Abiraame mungkin harus pulang dalam kekecewaan.

Sree Abiraame menjalani latihan luar di Latvia. Dia mengadu sakit dan kekejangan setiap kali selepas latihan.
PETALING JAYA:
Kerjaya berpotensi bintang luncur ais berusia 9 tahun, Sree Abiraame Chendren, dilihat menuju pengakhiran oleh kerana janji yang tidak ditepati.

Ramai berjanji untuk membantunya mencapai impian mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk 2024 tetapi mesej bercampur aduk dan perubahan fikiran di saat akhir menjerumuskannya ke ambang putus asa, berdepan prospek untuk pulang dalam kekecewaan.

Gadis Malaysia itu diletakkan pada kedudukan ketiga di Asia oleh Institut Luncur Ais, di belakang dua peluncur Thailand yang lebih tua. Dia ingin tampil dalam Sukan Olimpik Belia Musim Sejuk 2024 di Korea dan Olimpik Musim Sejuk 2026 di Itali.

Pandemik Covid-19 menjejaskan program latihannya di International Figure Skating School di Latvia, bawah kendalian jurulatih Alexander Ryabinin untuk mempersiapkan diri menyertai Olimpik Belia.

Kos menyewa gelanggang sekitar 10 euro (RM50) sejam, meningkat menjadi 120 euro (RM600) sejam dan dia memerlukan latihan selama empat jam setiap hari. Sebelum ini, dia dapat berkongsi gelanggang dengan 10 peluncur lain tetapi kini harus berlatih sendirian kerana ancaman Covid-19.

Bapanya B Chenderen Balakrishnan berkata, ramai yang tampil untuk membantu apabila situasi anak perempuannya diketengahkan pada November, Kementerian Belia dan Sukan juga mengumumkan akan membantu, sama seperti parti politik MIC.

Namun, sehingga kini tiada bantuan yang tiba.

Sree Abiraame Chendren.

“Ketika kementerian dan MIC mengatakan mereka akan membantu, kebanyakan calon penaja lain menarik diri. Tetapi kementerian akhirnya mengatakan mereka tidak dapat membantu, kecuali dengan memberikan status pengecualian cukai untuk sumbangan yang kami kumpulkan.

“MIC juga mengatakan mereka tidak dapat menolong, menyebabkan kami tiada lagi tempat untuk dituju,” kata Chenderen yang sudah banyak berkorban untuk memastikan impian anaknya tercapai.

Seorang jurutera dengan syarikatnya sendiri, Chenderen menghabiskan hampir semua simpanan peribadinya, menggunakan KWSP dan menjual sebuah rumah untuk membayar yuran latihan anaknya dan penginapan isterinya di Latvia.

Dia sudah meletakkan rumahnya untuk dijual. “Seseorang telah menawarkan untuk membelinya dengan harga RM480,000. Saya memintanya untuk membenarkan saya tinggal di rumah itu untuk sementara waktu, dengan membayar sewa RM1,000. Saya tidak mahu menjual rumah yang saya diami, tetapi jika tiada pilihan lain, saya mungkin perlu (menjualnya),” katanya.

Satu-satunya pilihan lain yang tinggal baginya adalah membawa anak perempuannya pulang dari Latvia dan menamatkan impiannya.

“Mungkin saya akan dapat mengumpulkan wang apabila wabak ini berakhir. Kemudian mungkin dia boleh cuba lagi. Tetapi mungkin sudah terlambat (kerana kehilangan momentum),” katanya.

Sree Abiraame ialah peluncur gaya bebas tahap empat ketika dia ke Latvia pada Mac tahun lalu, sebelum perintah kawalan pergerakan dilaksanakan di Malaysia.

Sejak itu, dia berjaya melepasi tahap lima dan enam dan pada 8 Feb, dia akan diuji untuk tahap emas gaya bebas, yang akan memberinya peluang baik untuk melayakkan diri ke Olimpik Belia Musim Sejuk.

“Pulang (ke Malaysia) bermaksud dia tidak lagi dapat berlatih di tahap itu dan mungkin akan mengambil masa bertahun-tahun sebelum dapat mencapai standard seperti itu lagi,” kata Chenderen, sambil menambah, wabak menyebabkan pendapatannya jatuh mendadak sementara kos latihan meningkat.

Sebagai pilihan terakhir untuk menghadapi ujian tahap emas itu, Ryabinin terpaksa melatih Abiraame di luar, dalam suhu antara -10 darjah celsius and -20 darjah celsius.

Tetapi, lebih mudah bercakap daripada melakukan. “Gelanggang di luar sekeras batu,” kata Chenderen.

“Setiap hari, selepas latihan, dia mengeluh sakit di seluruh badannya, kerana kekejangan. Dia baru berusia 9 tahun. Sangat sukar untuk kami sebagai ibu bapa untuk menerimanya.”

Tetapi gadis itu kental. Malah bersedia untuk menjalani ujian tahap emas gaya bebas itu di luar.

“Ini akan menjadi sesuatu yang baru. Mereka selalu mahu melakukannya di gelanggang. Tetapi dia dan pelatih percaya Abiraame memiliki kelebihan.”

Ujian itu sendiri memerlukan perbelanjaan tambahan sebanyak 1,800 euro (RM9,000). “Saya tidak tahu sama ada saya mampu membayarnya,” kata Chenderen.

“Saya kekurangan dana. Sekiranya kami memutuskan untuk berhenti, saya juga perlu membayar untuk membawa mereka pulang, mungkin melalui Finland. Itu juga akan membebankan saya.”

Buat masa ini, hanya segelintir penyumbang yang menepati janji mereka, walaupun tidak sepenuhnya. Yayasan Ohms di Klang menyumbang RM25,000 dan menjanjikan RM25,000 lagi dalam masa terdekat. Mereka menjanjikan RM100,000 tetapi hanya apabila keadaan menjadi lebih baik.

Syarikat lain, Rymax Lubricants, yang berpangkalan di Holland, sudah menghubungi mereka tetapi belum ada khabar selanjutnya. Bagaimanapun, ejen tempatan, En Lee, bersetuju untuk menaja RM1,000 setiap bulan selama 12 bulan.

“Kalaulah kita dapat mendapatkan 30 syarikat untuk melakukan benda yang sama – menaja Sree Abiraame RM1,000 sebulan – selama beberapa tahun, saya yakin impiannya akan menjadi kenyataan. Tajaan juga akan bebas cukai,” kata Chenderen.

Semua sumbangan boleh disalurkan melalui Yayasan Abiraame yang boleh dihubungi di 016 2480808

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.