
Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk perintah penangguhan pelaksanaan daripada jawatankuasa itu melancarkan inkuiri berkenaan.
Peguamnya, Wilson Joy Appukuttan, berkata Hakim Mariana Yahya menolak permohonan Hamid itu atas alasan tiada sebab luar biasa untuk menghalang prosiding berkenaan.
“Saya perlu mengambil arahan daripada anak guam berhubung tindakan seterusnya, secepat mungkin,” kata Wilson, yang hadir bersama T Gunaseelan dalam prosiding diadakan secara maya, hari ini.
FMT difahamkan Hamid mempunyai pilihan lain, termasuk memfailkan usul baharu di Mahkamah Rayuan bagi menghalang jawatankuasa terbabit mengadakan prosiding itu pada 3 petang Khamis.
Pada 21 Jan, Mariana menolak permohonan Hamid untuk mendapat izin bagi semakan kehakiman terhadap afidavit serta penghakiman berkenaan.
Beliau turut membenarkan permohonan jawatankuasa etika itu untuk membatalkan saman pemula Hamid, yang juga berkait rapat dengan remedi dituntut dalam permohonan semakan kehakimannya.
Berhubung semakan kehakiman, Hamid mahukan deklarasi bahawa prosiding dalam kamar adalah bertentangan dengan prinsip keadilan asasi, tidak rasional, dan melanggar perlembagaan.
Beliau turut memohon deklarasi bahawa jawatankuasa itu, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, bertindak melanggar perlembagaan apabila merangka tuduhan terhadapnya, dan tuduhan berkenaan patut diisytiharkan batal dan tidak sah.
Mengenai saman pemula, Hamid memohon arahan berkaitan afidavit dan penghakiman yang diputuskannya dalam sebuah kes rayuan jenayah.
Hamid, yang akan bersara tahun ini, mengajukan persoalan sama ada keputusannya Jun lalu boleh disiasat oleh jawatankuasa tersebut.
Beliau juga bertanya sama ada afidavit yang disahkannya pada 2019 untuk menyokong tuntutan yang difailkan oleh peguam Sangeet Kaur Deo boleh diteliti oleh jawatankuasa tersebut.
Tiga tahun lalu, Hamid mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam beberapa kes berprofil tinggi. Sangeet kemudian mengemukakan tuntutan terhadap ketua hakim pada awal 2019, menuduhnya gagal mempertahankan dan memelihara integriti badan kehakiman.
Pada Ogos, FMT melaporkan bahawa jawatankuasa itu telah mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Hamid mengenai afidavit dan penghakiman tersebut.
Hamid, antara lainnya, menyatakan dalam penghakiman itu bahawa badan kehakiman diharapkan bertindak sebagai pemeriksa semak dan imbang untuk badan eksekutif dan perundangan, sebagaimana yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.