Rintihan kami juga perlu didengari, kata kesatuan wartawan

Rintihan kami juga perlu didengari, kata kesatuan wartawan

Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) berkata lebih 3,000 petugas media hilang pekerjaan sejak 2019.

Ketika membuat liputan sepanjang penularan Covid-19, petugas media juga seolah diketepikan, sama ada dari segi kebajikan mahupun keselamatan.
PETALING JAYA:
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) menggesa kerajaan mendengar rintihan petugas media yang berdepan cabaran getir sepanjang penularan pandemik Covid-19.

Presiden Farah Marshita Abdul Patah berkata dianggarkan lebih 3,000 kakitangan dalam industri media diberhentikan secara berperingkat sejak 2019 disebabkan oleh faktor kelembapan industri dan kesan pendemik Covid-19 yang berterusan.

“Lebih sukar, ada juga bekas kakitangan media yang diberhentikan tanpa sebarang pampasan disebabkan penutupan operasi secara mengejut. Sebahagian besar mereka berdepan dengan situasi yang amat mencabar dalam mencari pekerjaan baharu disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Bagi bekas pekerja yang menerima pampasan daripada majikan, kebanyakan mereka mula menceburi pelbagai bidang perniagaan untuk meneruskan kelangsung hidup, namun pendemik yang berlarutan sejak 2019 memberi kesan besar kepada perniagaan mereka yang baru bertatih di pasaran,” katanya.

Tambahnya, industri media dilihat terus suram untuk beberapa tahun akan datang dan perkembangan ini bukan sahaja memadam hasrat bekas kakitangan media ini untuk kembali berkhidmat dalam industri ini, malah, turut mematikan semangat warga media yang masih bertugas dalam industri.

Katanya, dalam membuat liputan sepanjang penularan Covid-19, petugas media juga seolah diketepikan, sama ada dari segi kebajikan mahupun keselamatan.

Tiada peruntukan khas bagi membeli peralatan keselamatan, pemeriksaan kesihatan mahupun elaun perubatan diberikan kepada petugas media dalam membuat liputan seharian terutama di tempat berisiko.

Jelasnya, NUJM berharap agar kerajaan dapat merangka program khas yang dapat membantu dan meringankan beban yang dihadapi petugas media dan bekas kakitangan industri ini dengan segera, berikutan darurat sehingga Ogos tahun ini dilihat akan terus memberi tekanan kepada pemulihan industri ini.

“NUJM mencadangkan program-program yang berkonsepkan ‘upskilling’ dan ‘resklilling’, pembangunan usahawan digital, latihan pengurusan perniagaan dan kewangan, dan pelbagai program-program lain yang boleh memberi nilai tambah kepada mereka untuk terus bersaing dalam pasaran kerja serta perniagaan yang diceburi.

Selain itu, NUJM turut mencadangkan penubuhan tabung bencana bagi membantu petugas media yang ditimpa kemalangan ketika bertugas selain membolehkan bantuan kecemasan dihulurkan dengan kadar segera.

“Dalam situasi semasa yang cukup mencabar ini, bantuan dan sokongan daripada kerajaan amat dihargai serta dialu-alukan untuk membantu bukan sahaja ahli NUJM tetapi tetapi industri media secara menyeluruh,” jelasnya.

Sehubungan itu, NUJM bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan pihak kementerian bagi merealisasikan harapan untuk memastikan kebajikan petugas media terjaga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.