Najib gesa pengusaha tempatan ambil alih susulan laporan dakwa Panasonic akan tamat pembuatan panel solar

Najib gesa pengusaha tempatan ambil alih susulan laporan dakwa Panasonic akan tamat pembuatan panel solar

Najib berkata, Malaysia merupakan pengeluar panel solar ketiga terbesar di dunia ketika kerajaan BN sebelum ini.

Najib Razak mahu kerajaan jelaskan mengapa kilang panel solar di Malaysia tidak lagi kompetitif sejak beberapa tahun lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Najib Razak sedih melihat kilang ditutup satu-persatu, susulan laporan mendakwa syarikat Jepun, Panasonic Corp, akan menamatkan pembuatan panel solar di kilangnya di Malaysia, berikutan persaingan harga yang sengit daripada pekilang China.

Bekas perdana menteri itu tidak menyalahkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung penutupan tersebut, namun meminta kerajaan menjelaskan mengapa kilang panel solar di Malaysia menjadi tidak kompetitif sejak beberapa tahun lalu.

“Sedih melihat kilang-kilang di Malaysia ditutup satu persatu baru-baru ini dan saya harap kerajaan akan berjaya mencari pelaburan asing baru untuk menggantikannya agar rakyat yang dibuang kerja mendapat peluang pekerjaan baru.

“Ataupun ada pengusaha tempatan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mampu melabur atau mengambil alih kilang tersebut daripada Panasonic dan menjadikannya lebih kompetitif bawah jenama milik Malaysia,” katanya di Facebook.

Reuters memetik laporan Nikkei berkata Panasonic Corp akan menamatkan pembuatan sel dan panel solar di kilangnya di Malaysia dan wilayah Shimane, Jepun mulai April.

Dalam laporan sama, Panasonic dalam kenyataan berkata ia sedang mempertimbangkan pelbagai langkah untuk perkuat struktur pengurusan perniagaan solar, tetapi belum ada keputusan pada ketika ini, dan menambah laporan Nikkei itu bukanlah sesuatu yang diumumkannya.

Sementara itu, Najib percaya ramai tidak tahu Malaysia merupakan pengeluar panel solar ketiga terbesar di dunia selepas China dan Taiwan ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kilang solar pertama di Malaysia bermula 2008 dan sejak itu banyak kilang solar memulakan operasi, termasuk di Pulau Pinang, Ipoh Perak, Sarawak, Kedah, Melaka, dan Cyberjaya.

“(Ini) sekali gus mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan dan nilai eksport berbilion setahun,” katanya.

Jelasnya, tidak dinafikan akan ada penyokong Pakatan Harapan (PH) menggunakan isu yang dibangkitkan itu untuk mengkritiknya berhubung projek solar sekolah di Sarawak, bagi memburukkan imej dan reputasi beliau.

“Saya tidak didakwa atau dipanggil sebagai saksi oleh pendakwa raya dalam kes ini walaupun nama saya sering dimainkan dalam media. Kenapa?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.