
Bekas wartawan permotoran Yamin Vong menyarankan rebat cukai disediakan untuk menjadikan kenderaan elektrik menarik kepada pembeli di pasaran premium, sementara untuk pasaran massa, dasar “cash-for-clunkers” (bayaran tunai bagi kereta lama) boleh menggalakkan orang ramai menukar beli kereta lama mereka.
Idea sedemikian dapat membantu industri permotoran Malaysia, khususnya Proton, meraih keuntungan daripada perjanjian antara dua syarikat besar China, Zhejiang Geely dan Tencent Holdings baru-baru ini, untuk mengembangkan kokpit kenderaan pintar dan teknologi pemanduan autonomi.
Geely memegang sebanyak 49.9% saham dalam Proton dan juga memiliki syarikat pembuat kereta Sweden, Volvo.

Vong menggesa kerajaan melonggarkan dasar pelaburannya dan membenarkan 100% pemilikan asing untuk proses dan produk berteknologi tinggi secara keseluruhan, dan juga 100% penyertaan asing dalam syarikat kenderaan, bukannya terus mewajibkan usaha sama dengan syarikat tempatan.
“Pendirian unik Malaysia dalam industri automotif Asean adalah ia memiliki syarikat kebangsaan sendiri, Proton, yang mempunyai kerjasama dengan kumpulan Zhejiang Geely.
Orang ramai boleh membayangkan bahawa Geely mahu mendapatkan saham pasaran dalam kalangan 660 juta penduduk rantau Asean secara bersendirian atau kerjasama dengan Proton,” katanya kepada FMT.
Namun Geely-Proton tidak mempunyai saingan harga untuk mencabar jirannya kerana jualan kenderaannya kurang daripada 1/3 jumlah jualan di Thailand atau Indonesia.
Putrajaya perlu mengubah rentak permainan dan mengembangkan dasar automotif baharu yang menerima pelabur teknologi auto yang mengurangkan karbon dioksida.
Kerajaan perlu belajar daripada Norway, yang mempunyai populasi EV perkapita terbesar.
Negara itu mengenakan cukai lebih rendah untuk kenderaan rendah atau tanpa pelepasan (karbon), sementara bayaran letak kenderaan dan tol bagi kenderaan tanpa pelepasan diberi potongan hingga 50%. Tiada cukai jalan tahunan dikenakan.
“Sebaik sahaja ada permintaan, Proton boleh melangkah ke depan dalam penghasilan kenderaan EV. Pasaran kita sangat kecil, tetapi kita boleh membuatnya nampak menarik.”
Membenarkan penyertaan syarikat kenderaan asing secara 100% dapat menarik lebih banyak pelaburan langsung asing yang akan memudahkan berlakunya pemindahan teknologi.
“Saya tak rasa Geely akan berkongsi teknologi baharu mereka melainkan mereka dibenarkan memegang saham utama dalam Proton,” katanya.
Namun, seorang ahli ekonomi, Geoffrey Williams dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata, Geely mempunyai reputasi untuk mendorong sinergi dan perkongsian pengetahuan serta teknologi dalam kalangan jenamanya.
Kokpit kenderaan pintar dan teknologi pemanduan autonomi akan lebih menumpukan kepada kenderaan Geely di China, subjenamanya yang lain akan mendapat manfaat apabila teknologi itu matang.
Wong Koi Nyen dari Jabatan Ekonomi dan Kewangan Fakulti Perniagaan Universiti Sunway berkata, kerjasama Geely dengan Tencent berpotensi untuk memindahkan pengetahuan teknikal kepada Proton.
Katanya, Malaysia sudah bersedia untuk kenderaan elektrik selagi Proton mempunyai kelebihan penggerak pertama dengan menjadi pihak yang mula-mula memperkenalkan produknya.
“Ini adalah segmen pasaran baharu yang menarik pemandu muda dan pemandu yang peka teknologi,” tambahnya.