Kumpulan kecam rampasan kuasa tentera Myanmar, gesa bebas tahanan

Kumpulan kecam rampasan kuasa tentera Myanmar, gesa bebas tahanan

Tentera mesti menghormati kehendak rakyat dan membenarkan Parlimen bersidang, kata mereka.

Bendera tentera dan agama Buddha dikibarkan penyokong, termasuk sami yang menaiki menaiki sebuah trak di Yangon, Myanmar pada Isnin. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago menyelar tentera Myanmar merampas kuasa dan mendesak mereka membebaskan individu ditahan pagi tadi.

Santiago, ketua Ahli Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR), berkata perkembangan terbaru di Myanmar itu “tamparan bagi setiap rakyat Burma yang keluar mengundi dalam pilihan raya November lalu”.

Seiring pembebasan individu yang ditahan, katanya, tentera mesti segera mengundur kereta kebal mereka dan memulihkan semua perkhidmatan komunikasi.

“Rakyat Myanmar sudah bersuara dalam pilihan raya November, dan menghantar mesej tegas yang mereka menolak pemerintahan tentera. Tentera mesti menghormati kehendak rakyat dan membiarkan Parlimen terus bersidang,” katanya dalam kenyataan.

Charles Santiago.

Beliau menggesa seluruh rantau Asean mengecam pertunjukan kuasa terhadap pemimpin yang dipilih secara demokratik dan membantu meredakan keadaan.

Sementara itu, kumpulan hak asasi manusia, Fortify Rights menggesa tentera mengeluarkan jaminan keselamatan ke atas individu ditahan dan menghentikan tangkapan selanjutnya.

Kumpulan itu juga menuntut pembebasan pemimpin de facto, Aung San Suu Kyi, bersama ahli politik dan aktivis lain.

Ketua Eksekutif Fortify Rights, Matthew Smith berkata, semua rangkaian komunikasi dan telefon bimbit mesti dipulihkan atas dasar menghormati hak kebebasan bersuara.

“Rampasan kuasa tentera sedang berlangsung. Akses kepada maklumat sangat penting bagi rakyat Myanmar sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut sumber Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Smith berkata, tentera menahan semua Ahli Parlimen di ibu negara Naypyidaw pada hari Parlimen Myanmar sepatutnya bersidang.

“Tentera mesti menghormati keputusan pilihan raya 2020 dan membenarkan Parlimen bersidang seperti dijadualkan,” katanya sambil menambah kerajaan di seluruh dunia patut mengecam “rampasan kuasa berani” tentera.

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pagi tadi, menahan Suu Kyi dan mengisytiharkan mereka menguasai negara itu selama setahun dalam keadaan darurat.

Campur tangan itu menyusul ketegangan antara tentera selama beberapa minggu, yang memerintah negara itu hampir lima dekad, dan kerajaan awam didakwa melakukan penipuan dalam pilihan raya November lalu.

Beberapa jam selepas tangkapan tersebut, rangkaian komunikasi di Myanmar disekat, dengan beberapa rangkaian telefon bimbit tidak berfungsi dan sambungan web teruk terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.