Benar doktor swasta keluar arahan kuarantin, kata Ahli Parlimen, pengamal perubatan

Benar doktor swasta keluar arahan kuarantin, kata Ahli Parlimen, pengamal perubatan

Kerajaan digesa beri kuasa kepada doktor swasta untuk mengeluarkan arahan kuarantin bagi membantu menangani lonjakan kes Covid-19.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, dan Dr Goh Aik Ping minta kerajaan membangunkan sistem pangkalan data negara yang standard bagi membolehkan GP mengemas kini data pesakit.
PETALING JAYA:
Putrajaya digesa memberi kuasa kepada doktor swasta untuk mengeluarkan arahan kuarantin bagi membantu menangani lonjakan kes Covid-19.

Dalam satu kenyataan bersama, Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, dan Dr Goh Aik Ping, seorang pengamal perubatan am (GP), menyenaraikan gesaan itu dalam cadangan mereka kepada kerajaan.

Mereka berkata, peningkatan kes menunjukkan perisytiharan darurat tidak menamatkan jangkitan virus dan tindakan lebih proaktif diperlukan.

Mereka juga berkata, selain mengeluarkan arahan kuarantin, GP perlu diberi kebenaran merawat dan menjalankan pemeriksaan susulan ke atas pesakit yang menunjukkan gejala ringan Covid-19.

“Bangunkan sistem pangkalan data negara yang standard, yang membolehkan GP mengemas kini data pesakit, keadaan kesihatan, status kuarantin dan urusan pelepasan ke dalam sistem.

“Kegagalan melaporkan boleh mengakibatkan tindakan diambil (terhadap GP),” kata mereka.

Cadangan lain Teo dan Goh termasuk mengerahkan angkatan bersenjata membantu mengesan kontak dan memastikan arahan kuarantin dipatuhi, mempercepat program imunisasi negara, kuarantin kontak rapat kes positif dan menjalankan saringan, dan melaksanakan saringan Covid-19 menyeluruh untuk kumpulan berisiko tinggi.

Selama tiga hari berturut-turut, Malaysia mencatatkan lebih 5,000 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah kes aktif di negara ini sebanyak 48,150.

760 individu meninggal dunia kerana Covid-19 setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.